Lagi didakwa pecah amanah - Empat termasuk bekas pengarah IKBN Kuala Perlis

Oleh: JOHARI SHAWAL


RAZALI Ismail (tengah) menutup muka ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kangar, semalam.

KANGAR 26 Okt. – Dua pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS), seorang bekas pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan seorang pengurus sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan penyelewengan dan pecah amanah melibatkan dana awam IKBN Kuala Perlis.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada 28 Oktober 2005 dengan membuat pengakuan palsu berhubung pembelian kamera digital untuk IKBN Kuala Perlis.

Bagaimanapun, keempat-empat mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan apabila pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Wan Norzanuar Wan Ahmad.

Wan Norzanuar menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes itu bagi kesemua tertuduh.

Setiap seorang dikenakan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan pasport antarabangsa mereka diserahkan kepada mahkamah. Kesemua tertuduh membayar wang ikat jamin itu.

Bekas Pengarah IKBN Kuala Perlis, Razali Ismail, 56, Pegawai Teknikal Kejuruteraan Awam KBS, Mohamad Rozaini Yusoff, 41, dan Penolong Pengarah Cawangan Pentadbiran Latihan, Bahagian Pembangunan Kemahiran KBS, Zulkefli Abdullah dituduh menandatangani satu dokumen yang mengandungi butiran palsu berhubung pembelian 144 kamera digital Kodak CX7430 USA untuk IKBN Kuala Perlis.

Pengurus Pemasaran Kosijaya Didactic Sdn. Bhd., Saifuddin Tamkin, 39, pula dituduh bersubahat dengan menyedari bahawa ketiga-tiga mereka telah menandatangani dokumen perakuan pembelian kamera digital berkenaan tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, dua pegawai KBS dan bekas pengarah IKBN terbabit dituduh menandatangani borang 4E KD/FASA II/PP/E1057 iaitu Sijil Penerimaan Muktamad dengan niat memperdayakan prinsipal masing-masing pada 28 Oktober 2005.

Mereka bertiga dituduh mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Saifuddin pula dituduh mengikut Seksyen 11(c) bersama Seksyen 20(10(c) akta sama kerana bersubahat melakukan penyelewengan berkenaan pada tarikh sama.

Bagaimanapun, hanya dua daripada mereka hadir bersama peguam masing-masing iaitu Saifuddin yang diwakili N. Shanmugavadivelan manakala Mohamad Rozaini pula diwakili Izwan Saiful Ishak.

Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Ezran Arifin mencadangkan wang jaminan ke atas keempat-empat tertuduh ditetapkan pada RM10,000 setiap seorang tetapi semua tertuduh kemudian memohon agar jaminan dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan kesihatan dan mempunyai tanggungan keluarga.

Wan Norzanuar bagaimanapun memutuskan wang jaminan RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan semua tertuduh diminta menyerahkan pasport antarabangsa masing-masing sebagai syarat jaminan.

Dua daripada tertuduh iaitu Saifuddin dan Zulkefli ditahan di Kuala Lumpur semalam manakala Mohd. Rozani ditahan di Kuala Perlis dan Razali di Alor Setar, Kedah.

Penahanan mereka kelmarin menjadikan jumlah yang ditahan oleh Badan Pencegah rasuah (BPR) berhubung kes penyelewengan dana awam yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara sehingga kini menjadi 17 orang.

Sebelum ini, enam pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua pegawai KBS, seorang kontraktor dan seorang perunding didakwa BPR di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Kota Bharu dan Raub berhubung kes sama Selasa lalu.

Sehari selepas itu, dua lagi pegawai KBS didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban. Turut didakwa Pengurus Projek Kosijaya Didactic Sdn. Bhd., Loh Sie Le, 38.

0 comments: