Estrada umum sokongan terhadap Arroyo

MANILA 26 Okt. – Bekas Presiden, Joseph Estrada hari ini mengumumkan sokongan terhadap Presiden Gloria Macapagal Arroyo selepas mendapat pengampunan daripada hukuman penjara seumur hidup.

Arroyo sebelum ini merupakan individu yang dipersalahkan oleh Estrada sebagai punca kejatuhan beliau enam tahun lalu sehingga dipenjarakan seumur hidup atas kesalahan menggelapkan wang negara.

Estrada yang sebelum ini berikrar tidak akan membuat sebarang perjanjian dengan Arroyo, mengeluarkan kenyataan itu semasa menunggu surat pembebasannya, hari ini.

“Saya berterima kasih kepada Arroyo kerana memberikan pengampunan dan kebebasan penuh semasa beliau masih lagi berkuasa.

“Sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat Filipina, saya sedar bahawa beliau melalui saat-saat getir serta pilihan yang sukar sebelum memutuskan untuk memberi pengampunan,” tegas Estrada.

Pengampunan yang dibuat enam minggu selepas Estrada dipenjarakan itu mendapat sambutan menyeluruh dari penduduk yang mengenali beliau sebagai “hero rakyat miskin.”

Bekas hero layar perak ini menempa nama sebagai pelakon dalam lebih 100 filem selama tiga dekad dengan imej orang biasa yang bercakap dengan bahasa Inggeris yang kurang fasih dan memperjuangkan nasib rakyat miskin.

Populariti yang meluas itu turut menyumbang kepada kemenangan besar Estrada dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 1998, tetapi digulingkan tiga tahun selepas itu dalam apa yang disifatkan beliau sebagai tindakan “bermotifkan politik” oleh gereja, tentera dan komuniti perniagaan.

– AFP

0 comments: