Edar lakaran wajah suspek - * Siasatan serangan Karachi diteruskan * Tawaran hadiah RM285,000

ISLAMABAD 26 Okt. – Pihak polis hari ini mengedarkan dua lakaran wajah lelaki yang dipercayai sebagai penyerang yang bertanggungjawab melancarkan serangan bom semasa sambutan kepulangan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto minggu lalu.

Pihak berkuasa turut menawarkan hadiah lima juta rupee (RM285,600) kepada sesiapa yang memberikan maklumat sehingga membawa kepada pengenalan identiti kumpulan yang bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan.

Serangan pada awal pagi 19 Oktober itu menyebabkan 143 orang terbunuh.

“Kami sudah mengeluarkan lakaran dua suspek yang mungkin merupakan penyerang berani mati,” kata Ketua Polis Karachi, Azhar Farooqi.

Lakaran tersebut berdasarkan dua kepala yang ditemui di kawasan serangan berani mati dilancarkan dan dipercayai kepala penyerang terbabit.

Satu kepala masih dalam keadaan baik sementara satu lagi mengalami kerosakan yang teruk sehingga memaksa pakar forensik membaikinya semula bagi membolehkan ia dilakarkan.

Azhar memberitahu, polis telah menyoal siasat beberapa orang tetapi enggan mendedahkan sebarang maklumat mengenai kemajuan siasatan.

Serangan berani mati tersebut dilancarkan hanya lima meter dari kenderaan yang membawa Benazir semasa perarakan menyambut kepulangannya.

Benazir bagaimanapun menyatakan, beliau tidak puas hati dengan perkembangan siasatan dan hilang keyakinan terhadap polis tempatan dalam menjejak pihak yang bertanggungjawab.

Beliau turut mendakwa kumpulan militan berjaya menyusup masuk ke dalam pasukan keselamatan dan kerajaan.

Azhar bagaimanapun memberi amaran bahawa tindakan Benazir yang mengkritik polis sebagai mengganggu siasatan.

“Ada kemajuan dalam siasatan tetapi terlalu awal untuk menyatakan hasilnya kerana siasatan masih berjalan,” ujarnya.

Sementara itu, angka kematian akibat serangan itu meningkat kepada 143 apabila seorang mangsa yang cedera, Bashir Sheikh, meninggal dunia semasa dalam rawatan, semalam.

– AFP

0 comments: