Kos pembinaan Istana Negara baru lebih RM450 juta

KUALA KUBU BHARU 26 Okt. – Kos pembinaan Istana Negara baru di Jalan Duta dijangka melebihi anggaran RM450 juta yang diluluskan oleh Kabinet, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Katanya, ini memandangkan pembinaannya bukan sahaja melibatkan sebuah istana bahkan kelengkapan-kelengkapan lain.

‘‘Kerajaan membina sebuah Istana Negara yang lengkap membabitkan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong, dewan bankuet, Balairong Seri, rumah pasukan keselamatan, kandang kuda, tempat meletak kereta bawah tanah serta jalan dan infrastruktur-infrastruktur asas lain,’’ katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan Deepavali kepada 411 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Selangor, 25 keluarga miskin, penghuni rumah Warga Tua Kerling serta kanak-kanak dari Pusat Jagaan Kanak-Kanak Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini.

Bantuan itu disumbangkan oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G. Palanivel, Yayasan Kebajikan Negara, Sports Toto, Serba Wangi, Giant, Nestle dan F&N.

Istana Negara baru di Jalan Duta di atas tapak seluas 96.52 hektar yang dijangka siap menjelang 2009 akan menggantikan Istana Negara di Jalan Syed Putra yang digunakan sejak 1928.

Kumpulan Seni Reka Sdn. Bhd. dilantik sebagai arkitek, manakala Maya Maju Sdn. Bhd. ialah kontraktor pembinaan istana baru tersebut yang dibuat berdasarkan senibina Islam dan Melayu.

Samy Vellu memberitahu, beliau hari ini telah menandatangani surat kebenaran kepada Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Ir. Dr. Judin Abd. Karim untuk melantik Maya Maju melaksanakan projek pembinaan istana baru itu.

Beliau berkata, kementerian tidak menyembunyikan sebarang maklumat mengenai pembinaan istana baru itu.

‘‘Kos-kos berkaitan lain yang perlu ditampung oleh kerajaan ialah kerja-kerja pengambilan tanah bernilai RM1 juta, pembinaan jalan baru bernilai RM29 juta, kerja-kerja pembersihan tapak membabitkan kos RM2.5 juta serta kos-kos lain,’’ katanya.

Beliau menafikan dakwaan Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar pada Ogos lalu bahawa pembinaan istana baru itu dilakukan secara tidak telus dan berintegriti.

0 comments: