Wang, kerja punca ramai rakyat AS tertekan

NEW YORK: Satu kajian terbaru menunjukkan hampir separuh rakyat Amerika Syarikat berdepan masalah tekanan yang membimbangkan, termasuk sukar tidur dan minum banyak arak gara-gara terlalu banyak memikirkan soal kewangan dan pekerjaan.

Kajian oleh Persatuan Psikologi Amerika (APA) yang didedahkan akhbar The New York Post semalam menyatakan, mangsa mengakui mereka lebih tertekan pada masa ini berbanding tempoh lima tahun lalu.

"Hampir separuh juga mengakui mereka sering terjaga pada waktu malam kerana terlalu tertekan. Malah masalah tekanan itu semakin meruncing dan menjejaskan hampir setiap kehidupan rakyat negara ini," kata Russ Newman, pakar psikologi dan Pengarah APA.


Kajian secara online itu membabitkan 1,848 responden di seluruh Amerika.

"Kita dapati, 75 peratus punca tekanan itu adalah disebabkan dua perkara - wang dan kerja. Peratusan itu jauh meningkat daripada 59 peratus yang mengakui berdepan masalah sama, dua tahun lalu."

Newman berkata, selain wang dan kerja, majoriti rakyat negara itu kini bimbang memikirkan saat berdepan pemilik rumah yang menuntut bayaran sewa rumah bulanan.


"Masalah tekanan dan kebimbangan yang membuak-buak, terbukti menjejaskan sebahagian besar kehidupan ramai sehinggakan turut menjadi punca pertengkaran dengan anggota keluarga, menjadi kaki botol, merokok serta tidak bersenam.

"Paras tekanan yang tinggi itu meninggalkan kesan kesihatan secara jangka panjang daripada masalah kelesuan, obesiti atau terlalu gemuk serta penyakit jantung," katanya.

Malah, akibat masalah tekanan itu, 54 peratus responden mengakui bertengkar dengan orang tersayang dan 8 peratus menyatakan faktor itu sebagai punca cerai atau perpisahan dengan pasangan masing-masing. � Agensi

0 comments: