Sheikh Muszaphar terdengar azan

TERKINI

Adik meninggal dunia, Sheikh Muszaphar pulang hari ini
KUALA LUMPUR 27 Okt. - Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dibenarkan menamatkan tempoh kuarantin di Rusia lebih awal untuk menghadiri pengkebumian adiknya, Sheikh Mustapha Shukor Al Masrie yang meninggal dunia hari ini.

Thailand kerah 7500 anggota polis kawal Sukan SEA
BANGKOK 27 Okt — Thailand akan mengerahkan lebih 7,500 anggota polis untuk menjaga keselamatan pada Sukan SEA ke-24 Disember ini, yang kebetulan berlangsung dalam tempoh berkempen bagi pilihan raya umum negara ini pada 23 Dis.




Laporan Khas

Sheikh Muszaphar terdengar azan

KUALA LUMPUR 25 Okt. - ‘‘Tiga jam sebelum pulang ke Bumi, saya terdengar azan terngiang-ngiang bermain di kepala saya selama 10 minit.’’

Itulah pengakuan dibuat angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha kepada Utusan Malaysia ketika berkongsi pengalamannya semasa berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) baru-baru ini.

Menurutnya, kejadian itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana beliau percaya akan kebesaran Allah.

‘‘Saya percaya akan kebesaran Allah, sentiasa memberi pedoman ketika berada di ISS.

‘‘Ini semua adalah berkat doa dari seluruh rakyat Malaysia,’’ katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sheikh Muszaphar mencatat sejarah sebagai angkasawan pertama Malaysia apabila berjaya ke angkasa lepas pada 10 Oktober lalu.

Beliau kembali ke Bumi, Ahad lalu setelah 10 hari melaksanakan misi di ISS.

Ditanya apa perkara utama yang ingin dilakukannya jika diberi peluang kali kedua ke angkasa lepas, Sheikh Muszaphar memberitahu, beliau mahu melaksanakan lebih banyak eksperimen dan melakukan ‘spacewalk’ (EVA).

Selain itu, beliau berharap dapat tinggal di ISS selama enam bulan bagi membolehkannya membuat kajian berhubung tindak balas tubuh badan sendiri terhadap mikrograviti dan radiasi demi kebaikan manusia sejagat.

‘‘Sekali anda ke angkasa lepas, sudah pasti anda mahu kembali semula ke sana kerana keadaan angkasa lepas terlalu indah.

‘‘Melihat ciptaan Allah di hadapan mata sendiri memberikan ketenangan sanubari dan membuat saya berasa teruja akan kebesaran Allah,’’ jelasnya.

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa serta agama atas segala sokongan, galakan serta doa untuknya selama ini.

Sheikh Muszaphar berjanji akan memberi inspirasi, menukar minda serta berkongsi pengalaman dengan setiap lapisan masyarakat di Malaysia sekembalinya ke tanah air nanti.

0 comments: