‘Penyerang tahu kedudukan tentera’


BANGKAI trak tentera yang musnah dalam serangan bom di Mingora, daerah Swat di barat daya Pakistan, kelmarin. – AFP.

PESHAWAR 26 Okt. – Pasukan keselamatan Pakistan hari ini memulakan siasatan di tempat kejadian serangan berani mati yang membunuh 20 orang di barat laut Pakistan, semalam.

Datuk Bandar Mingora di daerah Swat, Fazlur Rehman berkata, dalang kejadian itu masih tidak dapat dipastikan tetapi corak serangan menunjukkan penyerang mempunyai maklumat dalaman pergerakan tentera di kawasan tersebut.

“Pengebom berani mati itu menggunakan sebuah kereta bagi menyerang sebuah trak yang membawa 45 konstabel di satu kawasan sesak berhampiran balai polis utama daerah Swat.

“Letupan itu menyebabkan 19 anggota tentera dan seorang penduduk maut serta mencederakan 35 yang lain, kebanyakannya anggota tentera,” katanya.

Menurut Fazlur, penyerang itu seperti telah dimaklumkan kawasan tersebut merupakan laluan tentera memandangkan trak yang diserang adalah trak awam yang membawa anggota berpakaian preman.

Kejadian itu berlaku beberapa hari selepas sepasukan 2,500 anggota separa tentera dihantar ke kawasan tersebut bagi menentang militan pro-Taliban di kawasan berhampiran sempadan Pakistan-Afghanistan tersebut.

– AP

0 comments: