Ibu bertemu anak setelah terpisah 36 tahun

BALING 26 Okt. – Doa seorang ibu saudara baru untuk bertemu dengan anaknya yang telah terpisah selama 36 tahun akhirnya termakbul hari ini.

Peristiwa paling bermakna dalam hidup Fatimah Abdullah, 61, dan anaknya Norina Mat Lihat, 36, itu berlaku pada hari keempat belas selepas umat Islam menyambut Aidilfitri.

Fatimah “kehilangan” anaknya itu ketika Norina berusia enam bulan apabila dia bercerai dengan suaminya.

“Tuhan makbulkan permintaan saya juga akhirnya, selama 36 tahun saya tidak jemu-jemu berdoa agar kami dapat berjumpa sebelum saya meninggal dunia,” katanya pemberita di rumah Norina di Kampung Bongor di sini hari ini.

Fatimah yang kini menetap di Kuala Selangor berkunjung ke rumah anaknya setelah menerima panggilan daripada Norina dua hari lepas.

Norina pula berkata beliau yang dibesarkan di Jelebu, Negeri Sembilan oleh bapanya hanya mengetahui bahawa ibunya masih hidup ketika berusia 16 tahun.

“Saya berusaha mencari ibu tetapi tiada siapa yang tahu di mana ibu tinggal dan terdapat saudara yang mendakwa kononnya ibu kembali kepada agama asalnya setelah bercerai dengan ayah,” katanya.

Norina yang telah berkahwin ketika berusia 18 tahun berkata, beliau secara kebetulan bertemu dengan seorang daripada anggota keluarga ibunya ketika pulang berhari raya di Jelebu minggu lepas dan wanita itu memberikan nombor telefon ibunya.

Norina kini mempunyai tujuh orang anak berumur antara 16 dan 3 tahun hasil perkahwinan dengan suaminya Haswari Che Din.

– Bernama

0 comments: