Pelari sensasi Bahrain turun ke Bukit Jalil

Oleh Meor Hisham Zulkifli

PELARI pecut Bahrain, Ruqaya Al Ghasara (gambar) yang membuktikan berpakaian menutup aurat masih boleh meraih emas acara 200m Sukan Asia Doha 2006, akan membuat penampilan istimewa di Kuala Lumpur pada bagi Kejohanan All-Comers KOAM/MSN di Stadium Nasional Bukit Jalil, 3 dan 4 November ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kehadiran Al Ghasara pasti akan memberi inspirasi kepada atlit wanita tempatan, terutama yang beragama Islam.

“Selepas memenangi 200m Sukan Asia, atlit berusia 24 tahun itu berkata dia tidak menghadapi masalah untuk membuktikan kemampuan diri meskipun memakai hijab, malah, membolehkannya memecut lebih pantas.


“Kata-kata semangat seperti itu sepatutnya menjadi faktor pendorong kepada atlit kita yang keberatan berlari kerana mendakwa faktor pakaian membataskan pergerakan mereka,” kata Shahidan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Naib Presiden KOAM, Karim Ibrahim.

Al Ghasara, melakar sejarah gemilang buat wanita Islam apabila mencatatkan 23.19 saat pada temasya Sukan Asia itu dan akan hadir di Kuala Lumpur bersama atlit Bahrain pada kejohanan All-Comers ini.

Bahrain adalah negara terbaru mengesahkan penyertaan ke kejohanan itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 bagi lima atlit terbaik.

Shahidan berkata, sebanyak 36 negara dijemput ke kejohanan itu dan negara seperti Arab Saudi, Hong Kong, Indonesia, Sri Lanka, Thailand dan Korea Selatan sudah pun mengesahkan penyertaan mereka.

0 comments: