UPSR tidak perlu diambil semula

PUTRAJAYA 27 Sept. – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 tidak perlu diadakan semula kerana tidak berlaku kebocoran soalan peperiksaan itu seperti yang didakwa.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, apa yang berlaku hanyalah ada persamaan pada soalan yang didakwa bocor itu.

“Saya diberitahu hanya ada persamaan, tiada kebocoran.

“Persamaan soalan tidak memerlukan pengambilan semula peperiksaan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat dakwaan berlaku kebocoran dalam peperiksaan UPSR yang diduduki oleh 511,519 murid tahun enam di seluruh negara pada 3 hingga 5 September lalu.

Kertas soalan yang didakwa bocor ialah Bahasa Melayu Penulisan, Bahasa Inggeris Kertas 2, Matematik Kertas 2 dan Sains Bahagian B, yang semuanya berbentuk subjektif.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Antara insiden yang dikaitkan dengan kebocoran itu ialah apabila seorang guru di Kota Bharu yang memberikan ‘tuisyen saat-saat akhir’ kertas Sains kepada muridnya yang mendapati apa yang diajar guru itu keluar dalam peperiksaan itu.

Di Seremban pula, beberapa ibu bapa mendakwa guru mereka menerima soalan Sains Kertas 2 menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan soalan yang keluar hampir sama dengan SMS yang mereka terima.

Lembaga Peperiksaan Malaysia kemudian diarahkan menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu walaupun Pengarahnya, Datuk Mohamed Zakaria Mohd. Noor menegaskan bahawa tidak berlaku kes soalan bocor.

0 comments: