Murid tidak perlu duduki semula UPSR

PUTRAJAYA: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2007 tidak perlu menduduki semula peperiksaan itu kerana siasatan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mendapati tidak berlaku kebocoran soalan seperti dilaporkan sebelum ini.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata walaupun ada persamaan antara soalan peperiksaan itu dengan soalan ramalan yang diterima murid sebelum UPSR berlangsung, ia tidak dianggap kebocoran soalan.

"Setakat ini, saya tidak menerima laporan mengenai kebocoran, tetapi hanya ada persamaan dan dalam kebanyakan kes yang membabitkan persamaan, pelajar tidak perlu menduduki semula peperiksaan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mohd Noh Omar, Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Beliau ditanya sama ada calon UPSR perlu menduduki semula peperiksaan itu selepas dakwaan berlaku kebocoran dalam kertas Bahasa Melayu Penulisan Sekolah Kebangsaan (SK), Bahasa Inggeris Kertas 2 SK, Matematik Kertas 2 dan Sains Bahagian B.

Sebelum ini, Pengarah LPM, Kol Datuk Mohammed Zakaria, dilaporkan berkata pihaknya akan mendapatkan kerjasama polis bagi menyiasat dakwaan itu.

Isu itu timbul berikutan laporan TV3 bulan lalu yang menyiarkan rungutan ibu bapa mengenai soalan bocor kertas Bahasa Melayu dan Matematik serta meminta Kementerian Pelajaran menyiasat bagaimana perkara itu boleh berlaku.

Mengenai sekolah satu sesi, Hishammuddin berkata, ia bukan satu isu besar kerana ketika ini sebanyak 6,748 daripada 7,621 sekolah rendah diadakan dalam satu sesi, manakala sekolah menengah pula membabitkan 1,284 daripada 2,055 sekolah di seluruh negara.

0 comments: