Myanmar terus bergolak -- Tindakan keras junta ragut 9 nyawa termasuk wartawan Jepun


Seorang lelaki yang dipercayai wartawan Jepun, Kanji Nagai terbaring di atas jalan raya selepas cedera terkena tembakan sementara penunjuk perasaan yang lain melarikan diri apabila pihak polis antirusuhan Myanmar melepaskan tembakan ke arah mereka di sebatang jalan raya di Yangon, semalam. – Reuters.
YANGON 27 Sept. – Sekurang-kurangnya sembilan penunjuk perasaan terbunuh manakala 11 yang lain cedera apabila polis antirusuhan Myanmar bertindak keras untuk meleraikan bantahan melibatkan kira-kira 70,000 penduduk, hari ini.

Orang ramai dilaporkan terus berkumpul tanpa mempedulikan ancaman ditembak dan dipukul oleh pihak berkuasa, sehari selepas tindakan keras junta menyaksikan lima orang penunjuk perasaan terbunuh, semalam.

Perhimpunan itu mendorong askar melepaskan tembakan amaran ke udara dan gas pemedih mata ke arah mereka dan menyambung semula tindakan kekerasan bagi menghentikan protes.

Turut terkorban ialah seorang wartawan agensi berita Jepun, APF News, Kanji Nagai, 50, warga Jepun yang telah lama membuat liputan mengenai hal ehwal politik Myanmar.

Penunjuk perasaan melaungkan cemuhan ke arah askar dan melepaskan kemarahan mereka dengan tindakan pasukan keselamatan melancarkan serbuan ke atas beberapa buah wat pada awal pagi ini.

Saksi memberitahu, lebih 30 anggota keselamatan turut cedera apabila orang ramai menyerbu ke arah mereka dan cuba merampas senjata api dalam bantahan terburuh sejak 20 tahun.

Ketegangan meningkat di tempat lain apabila beberapa trak membawa samseng projunta tiba di wat Ngwe Kyar Yan kira-kira lapan kilometer ke utara Yangon.

Kira-kira 250 lelaki bersenjatakan batang buluh dan belantan mengepung wat tersebut.

Polis pencegah rusuhan melepaskan tembakan ke arah kira-kira 1,500 penyokong sami di wat itu.

Kerajaan mengakui seorang lelaki terbunuh dan ramai lagi cedera dalam pertempuran di sini semalam, walaupun sekurang-kurangnya lima dilaporkan terkorban.

Penunjuk perasaan yang diketuai beribu-ribu sami menuntut kebebasan demokrasi lebih luas, pembebasan aktivis politik dan pembaharuan ekonomi di negara miskin ini.

Akhbar kerajaan menuduh “pensabotaj di dalam dan luar negara” mencetuskan protes di sini dan mendakwa demonstrasi itu jauh lebih kecil daripada apa yang dilaporkan oleh media.

Di bandar kedua terbesar, Mandalay, kira-kira 50 sami mencabar askar yang cuba menghalang sami itu berarak keluar dari wat mereka.

Beberapa wat lain yang dianggap sebagai kubu gerakan prodemokrasi diserbu oleh pasukan keselamatan sebelum subuh ini, dipercayai sebagai percubaan untuk menghalang protes yang diketuai sami.

Seorang sami di wat Ngwe Kyar Yan menunjukkan kesan-kesan darah di lantai sambil berkata, sebilangan rakannya dipukul dan sekurang-kurangnya 100 daripada 150 sami di wat itu ditangkap dan dibawa pergi dengan trak.

– AP

0 comments: