Kesilapan juruterbang punca Nuri terhempas

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Kesilapan juruterbang dikenal pasti sebagai punca helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Gunung Bunga Buah, Genting Sempah dekat sini pada 13 Julai lalu.

Timbalan Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Bashir Abu Bakar memberitahu, keputusan juruterbang membuat penerbangan rendah pada ketinggian 15 meter ketika cuaca buruk dengan jarak penglihatan dua kilometer merupakan punca utama pesawat itu terhempas.

“Keputusan yang dibuat oleh juruterbang itu menyebabkan pesawat itu melanggar tiga kanopi pokok dalam tempoh beberapa saat sebelum terhempas dalam percubaan untuk melepasi kawasan Genting Sempah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas bersama Brigedier Jeneral Che Akmar Mohd. Nor dan anggota pasukan penyiasat di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Pasukan penyiasat diketuai oleh Leftenan Kolonel Syed Islam Shahajam dari TUDM dengan dianggotai oleh Leftenan Kolonel Dr. Zuki Othman, Mejar Yee Ching Choy TUDM dan Mejar Muhd Noorafzanidzam Frienney Salleh.

Pada 13 Julai lalu, helikopter Nuri yang dinaiki enam anak kapal yang dalam perjalanan ke Pangkalan TUDM Kuantan terhempas di kawasan hutan tebal di Gunung Bunga Buah, Genting Sempah dekat sini.

Kejadian itu berlaku pada pukul 9.24 pagi itu iaitu beberapa minit selepas helikopter tersebut meninggalkan Stesen Udara TUDM di Sungai Besi di sini.

Ia meragut nyawa juruterbang Kapten Nor Azlan Termuzi, 29, pembantu juruterbang Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof, 27 serta empat orang lagi.

Bashir memberitahu, mengikut prosedur apabila cuaca buruk, juruterbang tidak boleh meneruskan penerbangan dan seharusnya berpatah balik ke pangkalan.

Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya juruterbang itu ingin meneruskan penerbangan, ia perlu menggunakan sistem navigasi pesawat dengan terbang di dalam kabus pada aras ketinggian yang tepat.

Beliau menambah, siasatan juga tidak menemui bukti berlaku masalah teknikal pada pesawat sebelum ia terhempas seperti enjin meletup atau terbakar.

“Siasatan kejuruteraan serta hasil analisis ke atas beberapa komponen helikopter tersebut juga tidak menunjukkan sebarang masalah teknikal sebelum pesawat itu terhempas.

“Kita telah menjalankan analisis ke atas sampel minyak, cecair hidraulik serta pelincir yang digunakan helikopter tersebut dan mendapati ia berada dalam keadaan baik,” ujarnya.

Katanya, pasukan penyiasat telah membuat kesimpulan bahawa kemalangan itu disebabkan kesilapan juruterbang membuat keputusan berdasarkan kecederaan yang dialami mangsa.

0 comments: