Pembunuhan Nurin Jazlin: Polis tahan lima orang


EMPAT suspek kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, meninggalkan makmal forensik Hospital Kuala Lumpur selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di ambil hari ini. Polis hari ini menahan lima orang berumur antara 27 dan 33 tahun termasuk seorang wanita dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Seksyen 7, Shah Alam malam tadi.

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima orang termasuk seorang wanita berhubung pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Seksyen 7, Shah Alam, malam tadi.

Mereka berumur antara 27 dan 33 tahun. Turut dirampas dalam serbuan itu dua buah kereta dan lima buah telefon bimbit.

Pengarah Jabatan Siasatan jenayah Bukit Aman Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata dalam satu kenyataan hari ini mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kanak-kanak itu.

Wan berkata tangkapan dibuat hasil daripada maklumat orang ramai.

Sementara itu, daripada maklumat yang diperoleh Bernama, tangkapan itu dipercayai yang pertama sejak 'Ops Sunti' dilancarkan bagi menjejaki pembunuh Nurin Jazlin selepas mayatnya ditemui pada 17 September lalu.

Tangkapan pertama dibuat di Jalan Persiaran Bistari di Seksyen 7, Shah Alam membabitkan satu pasangan, kedua-duanya berumur 33 tahun, yang tinggal di Bukit Kuda, Klang.

Susulan daripada itu, tangkapan ketiga dibuat di sebuah rumah kedai di Jalan Kristal, Seksyen 7, Shah Alam membabitkan seorang lelaki berumur 28 tahun yang berasal dari Wakaf Baharu, Tumpat, Kelantan.

Bernama difahamkan suspek itu cuba melawan ketika ditahan dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah kereta Proton Iswara daripada lelaki itu.

Pemberita yang menunggu di Hospital Kuala Lumpur sempat melihat kelima-lima mereka dibawa polis ke hospital itu pada jam 9.20 pagi, dipercayai untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Keempat-empat lelaki ditahan itu tiba dengan menaiki sebuah van polis berwarna putih manakala wanita itu dibawa berasingan dengan sebuah kereta polis.

Semua lelaki memakai baju-T berwarna merah jambu bertulis 'Lokap Kuala Lumpur' manakala wanita itu, yang kelihatan mengandung, memakai baju kurung hitam dan bertudung putih serta tangannya tidak bergari.

Mereka kemudian dilihat keluar dari Jabatan Forensik HKL setelah dipercayai selesai menjalani ujian DNA sebelum dibawa oleh polis, dipercayai ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Tinjauan di rumah keluarga Nurin Jazlin di Seksyen 1, Wangsa Maju mendapati pintu rumah mereka berkunci dari luar.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang pada 20 Ogos lalu selepas keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya.

Pada 17 September, mayatnya ditemui dalam satu beg yang ditinggalkan di sebuah kedai di Petaling Jaya.

Pasukan khas 'Ops Sunti' bagi menjejaki pembunuh Nurin Jazlin terdiri daripada anggota polis dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, IPK Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan IPD Petaling Jaya diketuai oleh Wan. - Bernama

0 comments: