Arahan bawa pulang RM35j ke Malaysia

Oleh Amirullah Andi Nur

Skim pelabur internet Swisscash

SC beri tempoh tujuh hari kepada defendan


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti (SC) berjaya mendapatkan perintah mahkamah bagi mengarahkan seorang defendan membabitkan kes skim pelaburan internet Swisscash memindahkan semula ke Malaysia wang sejumlah kira-kira RM35 juta yang disimpan di dalam beberapa akaun di luar negara.

SC dalam kenyataan di sini, semalam, berkata defendan berkenaan, Amir Hassan diberi tempoh selama tujuh hari untuk memindahkan kesemua wang berkenaan ke negara ini.

Defendan dilaporkan menyimpan semua wang yang diperoleh dari skim berkenaan dalam 14 akaun bank iaitu lapan di Singapura dan enam di Hong Kong.

Permohonan bagi mendapatkan perintah mengarahkan Amir untuk memindahkan semula wangnya di luar negara ke Malaysia dibuat oleh SC bersama-sama dengan injunksi inter parte Mareva.

Kes sivil yang difailkan terhadap individu di belakang Swisscash ini didengar oleh mahkamah pada 24 September lalu.

Menurut kenyataan SC lagi, sebaik dipulangkan semula ke negara ini, kedudukan wang berkenaan akan bergantung kepada arahan pembekuan dibuat oleh Mareva di seluruh dunia yang difailkan oleh SC awal tahun ini.

Selain Amir, defendan lain saman sivil itu ialah Albert Lee Kee Sien, Kelvin Choo Mun Hoe, Dynamic Revolution Sdn Bhd, Swiss Mutual Fund (1948) S.A., SMF International Limited dan SMF (1948) International Limited.

"Kejayaan prosiding sivil SC ini memastikan wang Swisscash disimpan dengan selamat dan dalam kawalan mahkamah Malaysia sekali gus tertakluk dalam mana-mana arahan prosiding," katanya.

SC pada 21 Jun 2007 memperoleh satu injunksi antarabangsa Mareva terhadap individu yang terbabit dalam skim penipuan pelaburan Swisscash, menghalang mereka daripada melupuskan aset mereka dalam dan di luar Malaysia.

Mareva menghendaki defendan menzahirkan maklumat yang berkaitan dengan semua aset sama ada di dalam atau di luar Malaysia, syarikat yang mereka tubuhkan, dan akaun bank yang mereka uruskan.

Sementara itu, SC sekali lagi turut mengingatkan bahawa Swiss Mutual Fund dan Swisscash tidak dilesenkan oleh badan itu.

Sehingga kini, SC sudah menutup empat laman web berkaitan dengan Swisscash iaitu www.swisscash.net, www.swisscash.biz, www.swissmutualfund.biz dan www.swisscashguide.com.

0 comments: