Kes bunuh Nurin: Empat lelaki ditahan reman seminggu

PETALING JAYA 28 Sept. - Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini memerintahkan empat lelaki ditahan reman selama seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan pelajar Nurin Jazlin Jazimin.

Perintah tahanan reman terhadap keempat-empat lelaki itu dikeluarkan oleh Majistret Nurmala Salim tengah hari tadi.

Dua daripada suspek dibawa ke mahkamah pada 11.30 pagi dengan menaiki van polis, manakala dua lagi, yang menaiki van polis yang lain, tiba 20 minit kemudian.

Kekecohan kecil berlaku di luar mahkamah apabila seorang daripada empat lelaki yang ditahan itu bertindak kasar menendang seorang jurufoto akhbar ketika sekumpulan jurufoto cuba mengambil gambar dua suspek yang menaiki van kedua sejurus selepas van itu tiba di pekarangan mahkamah.

Jurufoto itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Keempat-empat mereka ialah antara lima orang termasuk seorang wanita yang ditahan oleh polis di Shah Alam malam tadi bagi membantu siasatan dalam kes pembunuhan Nurin Jazlin.

Polis bagaimanapun membebaskan wanita itu.

Kesemua tahanan kemudian dibawa ke Bukit Aman.

Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang pada 20 Ogos lepas setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya.

Pada 17 September, mayatnya ditemui dalam satu beg sukan yang ditinggalkan di sebuah kedai di Petaling Jaya.

Kanak-kanak itu dipercayai menjadi mangsa penderaan seksual.

Kehilangan dan kematiannya mendapat liputan meluas media. - Bernama

0 comments: