Pindah RM35j ke Malaysia -- Defendan SwissCash diarah bawa balik wang dari akaun luar negara

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Mahkamah telah mengeluarkan arahan supaya seorang defendan dalam skim pelaburan Internet SwissCash memindahkan semula kesemua wang berjumlah kira-kira RM35 juta dalam akaun bank miliknya di luar negara ke Malaysia.

Defendan terbabit, Amir Hassan diarahkan memindahkan wang tersebut yang kini disimpan dalam enam akaun bank di Hong Kong dan lapan akaun bank di Singapura.

Perintah mahkamah itu merupakan kejayaan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam kes penguatkuasaan sivilnya terhadap skim pelaburan Internet itu.

SC dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, wang yang dibawa balik itu akan dibekukan menerusi perintah Mareva, tertakluk kepada prosiding sivil yang difailkan oleh suruhanjaya itu pada awal tahun ini terhadap Amir Hassan, Albert Lee Kee Sien, Kelvin Choo Mun Hoe, Dynamic Revolution Sdn. Bhd., Swiss Mutual Fund (1948) S.A, SMF International Ltd. dan SMF (1948) International Ltd..

“Kejayaan dalam tindakan sivil SC ini memastikan wang SwissCash itu disimpan dengan selamat, dan dalam bidang kuasa mahkamah Malaysia, jadi wang itu tertakluk kepada sebarang perintah yang dibuat dalam prosiding itu.

“Pelabur-pelabur sekali lagi diingatkan bahawa kedua-dua Swiss Mutual Fund dan SwissCash tidak diberikan lesen oleh SC,” kata kenyataan itu.

Kegiatan SwissCash yang menjanjikan dividen 300 peratus selepas pelaburan selama 15 bulan terbongkar kira-kira setahun lalu.

Skim itu dikatakan telah menerima deposit antara RM380 juta dan RM3.8 bilion daripada kira-kira 100,000 pelabur Malaysia.

Menurut SC, SwissCash merupakan sindiket Internet antarabangsa dan suruhanjaya itu sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di tujuh buah negara bagi memeranginya.

Katanya, sehingga kini, SC telah menyekat empat laman web berkaitan SwissCash iaitu www.swisscash.net, www.swisscash.biz, www.swissmutualfund.biz dan www.swisscashguide.com.

0 comments: