Lima suspek kes pembunuhan Nurin ditahan

Harakahdaily
Fri | Sep 28, 07 | 2:42:22 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Hrkh) - Polis menahan lima orang termasuk seorang wanita berhubung pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Seksyen 7, Shah Alam, malam tadi.

Mereka berumur antara 27 dan 33 tahun. Turut dirampas dalam serbuan itu dua buah kereta dan lima buah telefon bimbit, demikian laporan yang dipetik daripada Malaysiakini.com

Pengarah Jabatan Siasatan jenayah Bukit Aman Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan kanak-kanak itu.

Katanya, tangkapan itu dibuat hasil maklumat orang ramai.

Pada 20 Ogos, Nurin Jazlin dilaporkan hilang oleh bapanya Jazimin Abdul Jalil, selepas keluar seorang diri untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju, di Kuala Lumpur.

Pada 17 September, mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di hadapan tangga sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya.

Hasil ujian DNA mendapati mayat itu adalah Nurin Jazlin dan bedah siasat mendapati mangsa juga didera secara seksual.

Ujian DNA

Sementara itu, daripada maklumat yang diperoleh Bernama, tangkapan itu dipercayai yang pertama sejak "Ops Sunti" dilancarkan bagi menjejaki pembunuh Nurin Jazlin selepas mayatnya ditemui pada 17 September lalu.

Tangkapan pertama dibuat di Jalan Persiaran Bistari di Seksyen 7, Shah Alam melibatkan satu pasangan, kedua-duanya berumur 33 tahun, yang tinggal di Bukit Kuda, Klang.

Susulan daripada itu, tangkapan ketiga dibuat di sebuah rumah kedai di Jalan Kristal, Seksyen 7, Shah Alam membabitkan seorang lelaki berumur 28 tahun yang berasal dari Wakaf Baharu, Tumpat, Kelantan.

Bernama difahamkan suspek itu cuba melawan ketika ditahan dan polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah kereta Proton Iswara daripada lelaki itu.

Pemberita yang menunggu di Hospital Kuala Lumpur sempat melihat kelima-lima mereka dibawa polis ke hospital itu pada jam 9.20 pagi, dipercayai untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Keempat-empat lelaki yang ditahan itu tiba dengan menaiki sebuah van polis berwarna putih manakala wanita itu dibawa berasingan dengan sebuah kereta polis.

Kesemua lelaki memakai baju-T berwarna merah jambu bertulis "Lokap Kuala Lumpur" manakala wanita itu, yang kelihatan mengandung, memakai baju kurung hitam dan bertudung putih serta tangannya tidak bergari.

Mereka kemudian dilihat keluar dari Jabatan Forensik HKL setelah dipercayai selesai menjalani ujian DNA sebelum dibawa oleh polis, dipercayai ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Tinjauan di rumah keluarga Nurin Jazlin di Seksyen 1, Wangsa Maju mendapati pintu rumah mereka berkunci dari luar.


0 comments: