Saksi gagal kesan dokumen asal transaksi kad Touch 'n Go

SHAH ALAM 28 Sept. - Saksi pendakwa ke-33, Wan Abdullah Wan Ali memberitahu mahkamah tinggi di sini hari ini bahawa dia gagal mengesan dokumen asal transaksi penggunaan kad Touch ‘n Go yang didaftarkan atas nama Lans Koperal Rohaniza Roslan di pejabatnya.

Menurut Eksekutif Operasi Rangkaian Segar Sdn. Bhd itu, dia hanya mengetahui dokumen itu dicetak dengan menggunakan kata laluan seorang kakitangan yang bekerja secara kontrak.

"Saya ada cari di pejabat semalam, tetapi tidak jumpa (dokumen asal).

"Personel yang cetak ID120 (transaksi Rohaniza) menggunakan T061007. Saya tidak tahu siapa, tapi dia kakitangan kontrak,’’ katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah pada sesi pemeriksaan semula dalam perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu yang masuk hari ke-42 hari ini.

Menurut Wan Abdullah, dia tidak dapat mengesan siapa kakitangan tersebut kerana rekod kata laluannya telah dipadamkan daripada sistem selepas dia berhenti kerja.

Ditanya Tun Abdul Majid sama ada pihak syarikat mempunyai fail khusus untuk menyimpan dokumen-dokumen oleh pihak polis, katanya, ia disimpan di dalam komputer dan boleh mencetaknya pada bila-bila masa.

Jelasnya, tiada fail atau rekod bagi kes seperti itu diwujudkan kerana semua data hanya disimpan di dalam komputer sementara salinan asal diberikan kepada siapa yang memohonnya.

Sebelum itu, Wan Abdullah bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh peguam Kamarul Hisham Kamarudin bahawa kad Touch’n Go yang didaftar di bawah nama tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar boleh digunakan oleh sesiapa.

Walau rekod transaksi P119 mempunyai nama Sirul Azhar, saksi mengaku tidak ada cara untuk mengetahui sama ada tertuduh yang benar-benar menggunakan semua transaksi itu.

Sirul Azhar, 36, dan C/Insp Azilah Hadri, 31, kedua-dua dari Unit Tindakan Khas (UTK), dituduh membunuh Altantuya, 28, di satu lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini di antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lepas.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, pula dituduh bersubahat dengan mereka dalam pembunuhan itu.

Perbicaraan yang didengar hadapan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md Yasin, bersambung Isnin ini. - Utusan

0 comments: