8,032 sekolah laksana satu sesi

PUTRAJAYA 27 Sept. – Sebanyak 8,032 sekolah rendah dan menengah di negara ini telah melaksanakan persekolahan satu sesi manakala 1,644 sekolah masih beroperasi dua sesi.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada jumlah 8,032 itu, 6,748 sekolah membabitkan peringkat rendah dan selebihnya, 1,284 sekolah menengah.

“Bagi 1,644 sekolah dua sesi pula, 873 sekolah rendah manakala 771 sekolah menengah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan diwujudkan sekolah satu sesi yang tempohnya dipanjangkan sehingga pukul empat petang bagi mengatasi masalah anak bersendirian tanpa pengawasan ibu bapa.

Menurut Perdana Menteri, langkah itu jika dilaksanakan akan memberi kelegaan kepada ibu bapa yang bekerja kerana mereka berpeluang menjemput sendiri anak pulang dari sekolah.

Cadangan Perdana Menteri itu merupakan antara usaha untuk mengatasi kejadian jenayah ke atas kanak-kanak seperti yang berlaku ke atas Nurin Jazlin Jazimin.

Mengenai cadangan pelaksanaan waktu sekolah antara pukul 7.30 pagi hingga 4 petang untuk sekolah satu sesi, Hishammuddin memberitahu, ibu bapa dan guru tidak perlu bimbang mengenainya kerana ia tidak boleh dilaksanakan sekarang selagi masih ada sekolah dua sesi.

“Sama ada nak wajib atau tidak (waktu berkenaan), jauh lagi. Jangan bimbanglah cikgu dan ibu bapa yang merasakan bahawa kita akan buat satu keputusan bahawa anak kita akan belajar dari 7.30 pagi hingga 4.15 petang setiap hari,” jelasnya.

Mengulas mengenai buku teks untuk sesi persekolahan tahun depan, Hishammuddin berkata, beliau telah diyakinkan bahawa bekalan cukup untuk semua pelajar.

Isu tersebut, ujar beliau, perlu diambil kira untuk memenuhi keperluan semua sekolah termasuk sekolah swasta dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

0 comments: