FBI bantu cari pembunuh

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim


Nurin Jazlin Jazimin

PDRM hantar rakaman CCTV suspek ke makmal di Amerika

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapatkan bantuan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) bagi meningkatkan kualiti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mengandungi imej suspek pembunuh Nurin Jazlin Jazimin, 8.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata pihaknya akan menghantar rakaman CCTV itu ke makmal FBI di AS, tidak lama lagi.

Difahamkan, inilah pertama kali PDRM mendapatkan bantuan teknikal daripada FBI bagi meningkatkan kualiti rakaman CCTV dalam kes pembunuhan.

"Gambar CCTV yang kita ada sekarang ini agak kabur. Jadi pegawai saya akan membawa rakaman itu ke sana (Amerika Syarikat) tidak lama lagi bagi mendapatkan bantuan teknikal FBI," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bungkusan kuih raya PDRM 2007 di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman di sini, semalam.

Musa berkata, seorang pakar FBI juga akan dihantar ke sini bagi membantu aspek teknikal siasatan kes pembunuhan itu.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya juga meminta kerjasama seorang pegawai FBI yang ditempatkan di Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di sini bagi membantu aspek teknikal siasatan kes itu.

"Saya tegaskan (kes Nurin) siasatan kita, kita hanya minta bantuan teknikal saja," katanya.

Musa bagaimanapun enggan mengulas sama ada imej dalam CCTV itu adalah seorang wanita atau tiga lelaki termasuk seorang dikatakan membawa beg sukan seperti yang digunakan untuk memuatkan mayat Nurin.

Polis sebelum ini mendedahkan kelibat seorang wanita berbadan kecil berusia lingkungan 20-an yang dirakam CCTV yang ditempatkan di sebuah bengkel kereta bersebelahan lokasi mayat Nurin ditemui di Taman Petaling Utama, pada 17 September lalu.

Wanita berkenaan dilihat menaiki kereta Kenari berwarna perak yang dipandu seorang lelaki.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris sebelum ini turut melaporkan CCTV itu merakamkan seorang penunggang motosikal yang dikatakan ada kaitan dengan beg sukan berkenaan.

Musa bagaimanapun enggan mengulas mengenai kemungkinan 'lelaki kucing' atau pencabul Kampung Baru yang melakukan penderaan seksual ke atas dua budak perempuan berusia lima dan enam tahun, mempunyai kaitan dengan kes Nurin.

"Kita masih berusaha sedaya upaya, Insya-Allah kita akan dapat tangkap suspek tidak lama lagi," katanya.

Musa berkata, beliau tidak boleh memaklumkan perkembangan siasatan kes Nurin kepada media setiap hari kerana tidak mahu siasatan terjejas.

Beliau turut mengingatkan media supaya tidak membuat pelbagai spekulasi mengenai kes berkenaan untuk mengelak timbul masalah apabila kes itu didengar di mahkamah.

Kelmarin, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, dilaporkan berkata polis mengenal pasti seorang suspek yang dipercayai terbabit dengan kes Nurin.

Beliau berkata, suspek dikenal pasti berdasarkan lakaran wajah hasil maklumat awam, termasuk daripada seorang pemilik rumah sewa di Petaling Jaya yang dikatakan menemui suspek, kira-kira dua minggu sebelum mayat Nurin ditemui.

0 comments: