KL mahu kepastian PBB isu pengaman

MENTERI Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar diarah mendapatkan kepastian daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon sama ada Malaysia dijemput menyertai pasukan pengaman PBB di Darfur, Sudan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, beliau diberitahu Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Hamidon Ali bahawa PBB belum memuktamadkan lagi nama negara yang dipilih menganggotai pasukan itu.

"Buat apa nak mengadu kepada PBB jika belum ada keputusan muktamad," katanya kepada pemberita selepas beberapa mesyuarat dua hala di sini semalam. Abdullah dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah tiba di sini, malam kelmarin.

Abdullah yang akan menyampaikan ucapannya pada Perhimpunan Agung PBB ke-62 esok berkata, sukar untuk Malaysia memberikan bantuan kepada Sudan, terutama dalam usaha pembangunan di negara itu jika ia tidak mempunyai peranan dalam pasukan pengaman di Darfur.

Sebelum ini, Syed Hamid berkata, PBB tidak menyenaraikan Malaysia dalam pasukan pengaman antarabangsa di Darfur, walaupun negara menunjukkan minat menawarkan khidmatnya sejak awal lagi.

Tiada alasan memuaskan diberikan PBB di sebalik pengguguran itu, walaupun Sudan mahukan pembabitan Malaysia, sebaliknya badan dunia itu memberi tanggungjawab berkenaan kepada Thailand dan Bangladesh.

Mengikut resolusi PBB mengenai Darfur, 26,000 anggota pasukan pengaman akan ditempatkan di Sudan bagi membantu mengawal keamanan di negara Afrika yang bergolak itu.

Sebelum ini, Amerika Syarikat menyatakan kecenderungan mengenai pembabitan Malaysia di Darfur seperti disampaikan Timbalan Setiausaha Negara, John D Negroponte kepada Syed Hamid ketika perbincangan dua hala di Manila, baru-baru ini.

Malah, Malaysia sudah menghantar wakil khas ke Darfur yang akan memberi laporan penilaian situasi di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Abdullah berkata, beliau perlu meneliti terlebih dulu memorandum Majlis Peguam sebelum membuat sebarang ulasan mengenai desakan supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video mengenai seorang peguam terkenal dikatakan mengatur pelantikan hakim di negara ini.

"Saya harap Datuk Farid (Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Wan Farid Wan Salleh) dapat faks kepada saya apa yang ada dalam memorandum itu," katanya ketika diminta mengulas permintaan Majlis Peguam itu.

Kelmarin, hampir 2,000 peguam mengambil bahagian dalam perarakan secara aman ke Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya bagi menyerahkan memorandum mendesak ditubuhkan Suruhanjaya Diraja berhubung isu itu.

Memorandum diserahkan Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan, kepada Wan Farid yang turut menerima memorandum menggesa penubuhan suruhanjaya kehakiman bebas bagi melantik hakim.

0 comments: