‘Terima hasil siasatan Nuri’

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua pihak menerima hasil siasatan pasukan penyiasat helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Gunung Bunga Buah, Genting Sempah pada 13 Julai lepas.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau berpuas hati dengan laporan siasatan yang dibuat.

“Siasatan telah dibuat dengan mendalam serta secara objektif dan semua pihak perlu terima laporan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri oleh Para Penderma Kepada Angkatan Tentera Malaysia di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Najib yang juga Naib Yang Dipertua Badan Amal Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Datin Seri Rosmah Mansor serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal.

Laporan siasatan yang diumumkan hari ini mendapati kesilapan juruterbang membuat keputusan ketika berhadapan dengan cuaca buruk merupakan punca helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Gunung Bunga Buah, Genting Sempah dekat sini pada 13 Julai lepas.

Timbalan Panglima TUDM, Leftenan Jeneral Datuk Bashir Abu Bakar ketika mengumumkan hasil siasatan itu hari ini memberitahu, tindakan juruterbang yang membuat penerbangan rendah pada ketinggian 15 meter ketika cuaca buruk dengan jarak penglihatan dua kilometer merupakan punca utama pesawat itu terhempas.

Katanya, keputusan yang dibuat oleh juruterbang itu menyebabkan pesawat itu melanggar tiga kanopi pokok dalam tempoh beberapa saat sebelum terhempas di dalam percubaan untuk melepasi kawasan Genting Sempah.

Laporan siasatan itu disediakan oleh pasukan penyiasat yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Syed Islam Shahajam dari TUDM dengan dianggotai oleh Leftenan Kolonel Dr. Zuki Othman, Mejar Yee Ching Choy TUDM dan Mejar Muhd Noorafzanidzam Frienney Salleh.

Pada 13 Julai lalu, helikopter Nuri yang dinaiki enam anak kapal yang dalam perjalanan ke Pangkalan TUDM Kuantan dilaporkan terhempas di kawasan hutan tebal di Gunung Bunga Buah, Genting Sempah dekat sini.

Kejadian yang berlaku pada pukul 9.24 pagi itu iaitu beberapa minit selepas helikopter tersebut meninggalkan Stesen Udara TUDM di Sungai Besi di sini meragut nyawa juruterbang Kapten Nor Azlan Termuzi, 29, dan pembantu juruterbang Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof, 27.

Turut terkorban Sarjan Khusnizaim Ariffin, 34, Flait Sarjan Mohd. Azmie Md. Yassin, 35, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias, 28, dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad, 27 tahun.

0 comments: