Buat laporan polis jika Ah Long masukkan wang ke dalam akaun bank

KUANTAN, 28 Sept (Bernama) — Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow meminta orang ramai agar menyemak punca pertambahan wang dalam akaun bank mereka bagi mengelak diperangkap oleh Ah Long.

Beliau berkata, sesiapa saja khususnya mereka yang pernah berurusan dengan Ah Long perlu segera membuat laporan polis jika mendapati wang simpanan dalam akaun bank mereka bertambah tanpa diketahui puncanya.

“Kita harap orang ramai berhati-hati,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai pelaksanaan projek naik taraf Jalan Tanjung Lumpur-Kampung Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Pengerusi Khidmat Masyarakat dan Biro Pengaduan MCA Perak, Tony Khoo, semalam berhubung taktik terbaru Ah Long yang dikesan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun individu tertentu sebelum menuntutnya kembali bersama faedahnya.

Ah Kiow menasihatkan individu yang pernah meminjam dengan Ah Long supaya menutup akaun mereka bagi mengelak terperangkap dengan taktik itu.

Mengenai projek menaik taraf Jalan Tanjung Lumpur-Kampung Pahang di sini yang bernilai RM21.5 juta itu, Ah Kiow, yang juga Anggota Parlimen Kuantan, berkata, projek itu yang sepatutnya siap pada Jun lepas terpaksa dilanjutkan enam bulan lagi berikutan beberapa masalah yang dihadapi kontraktor.

Setakat ini, 59 peratus daripada kerja pelaksanaan projek yang bermula sejak Disember 2005 itu siap berbanding 91 peratus yang sepatutnya.

Beliau berkata, pelbagai alasan diberi oleh kontraktor terbabit seperti masalah kelewatan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalih kabel elektrik selain masalah kewangan, pengurusan dan kekurangan pekerja.

“Kita mungkin mencadangkan kepada Jabatan Kerja Raya untuk menamatkan khidmat kontraktor ini jika merasakan mereka gagal menyiapkannya pada tarikh baru yang telah ditetapkan,” katanya. - Bernama

0 comments: