Lapan galang jejambat Lebuh Raya Kajang-Seremban jatuh

SEREMBAN 28 Sept. - Lapan galang jejambat yang sedang dalam pembinaan di Lebuh Raya Kajang-Seremban (Kaseh) yang melintasi Jalan Pajam-Nilai dekat sini, terjatuh malam tadi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, tetapi ekoran kejadian itu, Jalan Pajam-Nilai ditutup selama dua hari kepada semua lalu lintas.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku pada kira-kira pukul 11.40 malam ketika kerja memasang galang jejambat itu, melibatkan empat buah kren, dengan kira-kira 10 orang pekerja.

Ketika galang kelapan dipasang, galang pertama hilang keseimbangan lalu jatuh dan menimpa galang kedua hingga kelapan, mengakibatkan kesemuanya jatuh serentak ke atas jalan raya dari setinggi 12 meter, katanya.

Pihak kontraktor melakukan kerja pembersihan semasa jalan itu ditutup.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, Datuk Peter Lai Yit Fee, yang pergi ke tempat kejadian untuk meninjau keadaan, berkata, jalan itu ditutup untuk kerja pemeriksaan dan pembersihan. - Bernama

0 comments: