Laporan Lembaga Siasatan Nahas Pesawat Nuri: Juruterbang Nuri silap perkiraan

Oleh Ifwan Tun Tuah


PUNCA NAHAS: Lokasi nahas helikopter Nuri yang terhempas di kawasan Genting Sempah, dekat Genting Highlands 13 Julai lalu menunjukkan kesan beberapa kanopi pokok yang dilanggar sebelum terhempas.

Pesawat langgar tiga kanopi pokok ketika terbang terlalu rendah dalam cuaca buruk

KUALA LUMPUR: Nahas pesawat Nuri yang mengorbankan enam pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di kawasan Genting Sempah, dekat Genting Highlands pada 13 Julai lalu, berlaku kerana terlanggar pokok ketika terbang pada paras terlalu rendah.

Timbalan Panglima TUDM, Lt-Jen Datuk Bashir Abu Bakar, berkata Laporan Lembaga Siasatan nahas itu mendapati pesawat berkenaan dipercayai terbang rendah di laluannya di kawasan itu dalam cuaca buruk.

"Keadaan cuaca pada pagi hari kejadian sangat buruk dengan hujan serta awan tebal yang rendah menjadikan jarak penglihatan kurang daripada dua kilometer.

"Keadaan lebih buruk dengan bentuk muka bumi berbukit bukau di laluan penerbangannya. Keadaan cuaca seperti itu adalah tidak sesuai untuk penerbangan altitud rendah," katanya pada sidang media mengumumkan hasil siasatan itu, di Wisma Pertahanan di sini, semalam.

Beliau berkata, pesawat berkenaan melanggar sebelum terhempas di lereng Gunung Bunga Buah berhampiran Genting Highlands.

"Siasatan mendapati ada tiga kesan perlanggaran pada pucuk pokok di kawasan itu dan kita percaya pesawat berkenaan terbang pada paras hanya kira-kira 15 meter daripada permukaan bumi," katanya.

UMUM SIASATAN: Bashir menunjukkan peta lokasi nahas helikopter Nuri pada sidang media di Wisma Pertahanan, semalam.

Beliau berkata, peraturan penerbangan ketika cuaca buruk seperti itu mengkehendaki juruterbang membawa pesawat ke kawasan selamat dengan terbang di atas awan.

"Juruterbang mungkin mengalami masalah dalam membuat penilaian dan keputusan ketika itu. Beliau sepatutnya berpatah balik dan menunggu sehingga cuaca baik sebelum terbang semula," katanya tanpa mengulas lanjut faktor kelemahan juruterbang.

Dalam kejadian 13 Julai lalu, enam terbunuh apabila pesawat Nuri yang dalam penerbangan dari Pangkalan Udara Kuala Lumpur ke Pangkalan Udara Kuantan terhempas di Gunung Bunga Buah, berhampiran Genting Highlands.

Mereka yang terkorban ialah Juruterbang, Kapten Nor Azlan Termuzi, 29; pembantu juruterbang, Kapten Nor Intan Asykeen Mohd Arof, 27; Kuartermaster Udara, Sarjan Udara Khusnizaim Ariffin, 34; Pegawai Bertauliah Avionik, Sarjan Udara Mohamad Azmi Md Yassin, 35; Juruteknik Badan Pesawat, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias, 28, dan Juruteknik Enjin, Laskar Udara Muhammad Ridzuan Ahmad, 27.

Bashir berkata, siasatan diketuai Lt-Kol Syed Islam Shahajam itu turut mengesahkan pesawat malang berkenaan tidak menghadapi masalah teknikal sebelum terhempas.

"Profil penerbangan serta siasatan kejuruteraan selain analisis terhadap komponen penting termasuk bahagian enjin helikopter itu tidak menunjukkan sebarang masalah.

"Analisis terhadap sampel minyak, cecair hidraulik serta pelincir turut mendapati semuanya berada dalam keadaan baik sebelum nahas," katanya sambil menambah pesawat tidak terbakar ketika atau selepas terhempas, membuktikan keadaan enjinnya baik.

Beliau berkata, pesawat selalunya akan terbakar, terutama ketika berada di udara jika mengalami masalah teknikal dan ia jauh berbeza dengan kes nahas Nuri terbabit.

Beliau turut mengumumkan laporan bedah siasat semua mangsa mendapati mereka mati serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan pada banyak bahagian badan terutama kepala, kesan hentakan kuat ketika helikopter terhempas.

Ditanya mengenai tindakan terhadap bangkai pesawat berkenaan yang kini masih berada di Gunung Bunga Buah, beliau berkata, pihaknya sudah mengeluarkan semua komponen penting dan memutuskan untuk meninggalkannya di tempat itu.

Mengulas perkembangan pemasangan alat pengesan lokasi kecemasan (ELT) pada 28 pesawat Nuri yang masih boleh digunakan, Bashir berkata, kebanyakannya dilengkapi alat itu, manakala yang selebihnya masih lagi dalam proses pemasangan.

0 comments: