Rakaman CCTV kes Nurin ke makmal FBI

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan imej kabur suspek utama kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, akan dihantar ke makmal penyelidikan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS).

Ia bertujuan memperkemaskan serta mempertingkatkan kualiti rakaman tersebut dalam usaha polis memperoleh fotofit suspek yang jelas serta lengkap selain mendapatkan lebih maklumat berhubung kes pembunuhan kanak-kanak malang itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sebanyak dua pegawai FBI terlibat dalam usaha tersebut dan salah seorang daripada mereka telah lama berada di Kedutaan AS di Malaysia manakala seorang lagi dijangka tiba dalam masa terdekat.

Jelasnya, fotofit kabur yang diperoleh dari CCTV itu pada masa ini telah diserahkan kepada anggota FBI yang telah berada di sini.

Menyiasat

“Polis sedang menyiasat kes ini dari semua aspek selain mengambil kira setiap petunjuk yang ada.

“Rakaman CCTV itu akan dihantar ke makmal FBI tidak lama lagi dan polis akan menggunakan sepenuhnya teknologi yang ada di sana untuk mendapatkan imej yang lebih jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2007 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya.

Dia ditemui mati 27 hari kemudian dalam sebuah beg yang diletakkan di depan premis perniagaan di Petaling Jaya pada 17 September lalu akibat didera secara seksual.

Selain itu, beliau menggesa supaya pihak media tidak membuat laporan salah berkenaan siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin kerana media yang memberi spekulasi tidak benar berhubung kes itu boleh didakwa di mahkamah.

“Kita akan dapat tangkap pembunuh itu tetapi saya tidak boleh beritahu semua maklumat kepada media kerana ia akan menjejaskan siasatan polis,” tegasnya.

Sementara itu, ditanya sama ada keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada rambut yang dijumpai dalam beg berisi mayat Nurin sudah siap atau belum, beliau enggan memberi sebarang komen.

0 comments: