Isu babi: Wakil rakyat, penternak tidak hadir

ALOR GAJAH: Penternak, wakil rakyat dan Exco MCA Melaka didakwa cuba mensabotaj mesyuarat yang diadakan Jawatankuasa Pemantauan Tindakan Mengeluarkan Babi apabila gagal hadir, walaupun diberikan peluang hampir satu setengah jam untuk datang.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman Yusop kecewa kerana mereka langsung tidak memaklumkan ketidakhadiran mereka sama ada panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau bertulis.

"Mereka sudah dimaklumkan mesyuarat hari ini (semalam) pada mesyuarat lalu. Mesyuarat yang sepatutnya bermula jam 10 pagi terpaksa ditunda sehingga jam 11.10 pagi, tetapi tiada seorang wakil mereka hadir atau menghubungi saya atau ahli jawatankuasa yang lain," katanya semalam.

Abu Seman berkata, walaupun mempunyai sistem komunikasi canggih, beliau tidak dapat menerima hakikat bahawa masalah berkenaan boleh berlaku.

"Tindakan mereka itu ingin sabotaj dengan apa yang sudah dibincangkan dan dipersetujui sebelum ini. Melihat perkembangan yang berlaku, saya berasakan mereka tidak ikhlas untuk menangani masalah babi berkenaan," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini penduduk Tionghua di Parlimen Masjid Tanah pernah mensabotaj majlis perarakan kemerdekaan di Taman Rekreasi Bukit Beringin serta menolak pemberian cenderamata kepada penduduk veteran yang diadakan pada 8 September lalu.

Abu Seman berkata, sejak operasi pemindahan babi dilakukan di empat kawasan ternakan di Paya Mengkuang, Man Lok dan Bukit Beruang, keadaan semakin teruk dengan bau busuk.

"Saya difahamkan babi daripada Paya Mengkuang, Man Lok, Bukit Beruang dan Londang tidak boleh keluar dari negeri ini kerana menerima sekatan negeri jiran. Jadi, penternak dikatakan main wayang dengan membawanya dalam lori dan berpusing-pusing di kawasan sekitarnya.

"Memang ada direkod pengeluaran babi dari kawasan berkenaan, tetapi dibawa kembali dan ditempatkan di beberapa kandang baru. Sebagai contoh di Bukit Tinggi, Paya Mengkuang dulu jumlah babi di situ kurang 2,000 tetapi apabila dipindahkan di situ, ia bertambah melebihi 10,000.

"Tindakan penternak itu seolah-olah cuba mencabar kewibawaan kita yang ketika ini lebih banyak bersabar dan bertolak ansur. Saya merasakan selepas 4 Oktober ini, kita tidak akan membuang masa untuk menunggu mereka dan bertindak tegas dengan apa yang sudah dipersetujui," katanya.

0 comments: