Artis ziarah keluarga Nurin

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Kejadian tragis yang menimpa Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang dibunuh kejam pada 17 September lalu turut mendapat simpati golongan artis yang menziarahi rumah keluarga Allahyarham di Wangsa Maju di sini, hari ini.

Seramai 10 artis yang diketuai penyanyi tahun 60-an, Mas Omar meluangkan masa kira-kira sejam dan memberi kata-kata semangat kepada keluarga Allahyarham.

Menurut beliau, kunjungan itu diatur oleh Jazlan Abdul Jalil, 38, iaitu abang kepada bapa Allahyarham yang juga merupakan kenalannya.

“Kebetulan Jazlan adalah abang kepada Jazimin Abdul Jalil (bapa Allahyarham). Dia (Jazlan) merupakan kalangan artis seperti kami juga.

“Apabila kami meminta Jazlan mengaturkan pertemuan ini, dia tidak keberatan membantu. Sama seperti orang lain, kami juga mahu berkongsi kesedihan dan mendengar sendiri cerita sedih itu daripada keluarga Allahyarham,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain Mas Omar, artis-artis lain yang menziarahi keluarga Allahyarham ialah Datuk Yusni Hamid, Jaclyn Victor, Zaibo, Yanie, Shidee, Yang Kassim, Nikki, Salwa Abdul Rahman dan Azizul Khamis.

Hadir sama kaunselor dari Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hasbullah Abu Kassim yang memberi sesi kaunseling kepada keluarga malang tersebut.

Sementara itu, Jazlan yang merupakan anggota kumpulan nasyid Dinar berkata, dia berasa terharu apabila rakan-rakan artis turut bersimpati atas tragedi yang menimpa Nurin yang juga anak saudaranya.

“Kami terharu apabila golongan artis juga prihatin dan sanggup turun padang bagi berkongsi kesedihan atas kematian Nurin.

“Ini bermakna kes kematian Nurin mendapat perhatian daripada semua golongan termasuklah artis,” katanya.

0 comments: