Saksi tak pasti Sirul laku lima transaksi tol

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

SHAH ALAM: Kad Touch n' Go milik Koperal Sirul Azhar yang digunakan lima kali untuk keluar masuk Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Kota Damansara pada malam Altantuya Shaariibuu dilaporkan hilang, 19 Oktober tahun lalu, tidak semestinya digunakan tertuduh kedua, Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu semalam.

Eksekutif Operasi Rangkaian Segar Sdn Bhd, pengeluar kad Touch n' Go, Wan Abdullah Wan Ali, dalam keterangannya berkata, seseorang pengguna boleh membeli kad itu lebih daripada satu dan memberikan kepada sesiapa yang dikehendaki.

Wan Abdullah bagaimanapun berkata beliau tidak pasti berapa banyak kad boleh dibeli seseorang pengguna dan sama ada mereka boleh membeli lebih daripada satu.

Menjawab soalan peguam Kamarul Hisham Kamarudin yang mewakili Sirul Azhar ketika sesi pemeriksaan balas, saksi itu bersetuju beliau tidak dapat memastikan transaksi kad Touch n' Go pada malam wanita Mongolia dilaporkan hilang, digunakan tertuduh kedua.

Katanya, ada pelbagai cara seseorang pengguna boleh mendapatkan kad itu, sama ada secara online, mengisi borang secara manual atau membeli secara langsung, bagaimanapun beliau tidak tahu bagaimana Sirul Azhar memohonnya.

"Jika pengguna membeli kad itu secara online atau mengisi borang secara manual, mereka tidak perlu memberikan maklumat kenderaan seperti nombor pendaftaran kereta," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah pada sesi pemeriksaan semula, sama ada beliau tahu Sirul Azhar mempunyai lebih daripada satu kad Touch n' Go, Wan Abdullah menjawab: "Tidak tahu."

Katanya, ketika mencetak 'Maklumat Terperinci Pemilikan Kad Touch n' Go' milik Sirul Azhar (ditanda sebagai P115, P119), rekod menunjukkan tertuduh hanya memiliki satu kad.

Tun Abdul Majid: Ada kamu cuba pulang ke pejabat dan cari salinan asal ID120 (salinan faks maklumat terperinci kad milik Lans Koperal Rohaniza Roslan, teman wanita tertuduh pertama, Cif Inspektor Azilah Hadri)?

Wan Abdullah: Ada.

Tun Abdul Majid: Ada kamu jumpa?

Wan Abdullah: Tidak jumpa.

Tun Abdul Majid: Kakitangan yang cetak salinan ID120 menggunakan nombor ID T061007. Kamu tahu siapa dia?

Wan Abdullah: Tidak tahu. Dia kakitangan kontrak.

Tun Abdul Majid: Dia tidak lagi bekerja?

Wan Abdullah: Sudah berhenti.

Tun Abdul Majid: Tiada rekod siapa dia?

Wan Abdullah: Tiada. ID dia sudah dipadamkan.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin: Sudah dipadamkan dari rekod?

Wan Abdullah: Sudah dipadamkan.

Tun Abdul Majid: Kamu tiada fail atau rekod bagi kes seperti ini?

Wan Abdullah: Data disimpan dalam komputer. Salinan asal diberi kepada polis. Tiada salinan disimpan.

Tun Abdul Majid: Dalam kes ini bagi ID120, adakah kamu tahu sama ada salinan asal diberi kepada polis?

Wan Abdullah: Saya tidak tahu.

Sementara itu, saksi ke-35 pendakwaan, bekas Timbalan Pengurus Bahagian Operasi Rangkaian Segar Sdn Bhd, Azman Ali, 40, berkata pada 6 November 2006, beliau menerima surat permohonan daripada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Tonny anak Lunggan bagi mendapatkan butiran penggunaan Smart Tag dan Touch n' Go milik Azilah dan Rohaniza.

Azman berkata, beliau kemudian meminta stafnya, Wan Abdullah (saksi ke-34) mencari dan mencetak rekod laporan terperinci itu.

Katanya, hasil carian dalam sistem komputer mendapati tiada rekod data penggunaan yang didaftarkan atas nama Azilah atau nombor kad pengenalannya.

Tun Abdul Majid: Bagi ID20, permohonan itu dibuat pada 6 November 2006, tapi rekod menunjukkan ia dicetak pada 2 November 2006, boleh kamu terangkan?

Azman: Selalunya, pihak kami akan berhubung dengan polis melalui telefon terlebih dulu dan beritahu maklumat yang mereka perlukan, jadi kami akan sediakan maklumat itu lebih awal dan serahkan bila mereka datang ke pejabat.

Tun Abdul Majid: Tapi ID120 menunjukkan ia difaks?

Azman: Kebiasaannya bila diminta, pihak kami akan faks dan polis akan datang kemudian untuk mengambil salinan asal.

Saksi itu kemudian dirujuk ID116 oleh Tun Abdul Majid, iaitu gambar A yang dirakam CCTV menunjukkan imej kenderaan menyerupai sebuah jip dan sebuah kereta yang melalui Tol Plaza Kota Damansara.

(Pada perbicaraan lalu, rakan Sirul Azhar dari Unit Tindakan Khas, Sarjan Rosli Ibrahim, memberitahu mahkamah Sirul Azhar memiliki sebuah jip Suzuki)

Tun Abdul Majid: Boleh kamu tentukan sama ada pengguna itu menggunakan Touch n' Go atau kad Touch n' Go bersama Smart Tag?

Azman: Boleh, tapi mungkin tidak tepat. Daripada pengalaman saya, transaksi ini menggunakan kad Touch n' Go saja kerana kereta hampir dengan pondok bayaran Touch n' Go. Kereta belakang pula dekat dengan kereta depan yang berhenti. Selain itu, bagi plaza tol baru (ketika itu), lorong Smart Tag tidak ada pondok bayaran.

Tun Abdul Majid: Berdasarkan rekod kelima-lima transaksi penggunaan kad Touch n' Go ini (P115 dan P119), adakah ia digunakan bersama Smart Tag?

Azman: Ya.

Tun Abdul Majid: Bukti?

Azman: Kelima-lima transaksi ada maklumat nombor OBU (On Board Unit).

Tun Abdul Majid: Jika penama Sirul Azhar hanya guna Touch n' Go, adakah rekod dia boleh jadi seperti dalam P115 dan P119?

Azman: Tidak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung Isnin depan.

0 comments: