Sheikh Muszaphar tak berkesempatan lihat jenazah adik

SEREMBAN 28 Okt. - Angkasawan negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha tidak dapat melihat untuk kali terakhir wajah adiknya yang meninggal dunia semalam berikutan beliau terlepas penerbangan dari Bangkok ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Beliau yang terlepas penerbangan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH705 dari Bangkok, Thailand pada pukul 11.08 pagi (12.08 tengah hari waktu Malaysia) terpaksa menaiki penerbangan berikutnya.

Adiknya, Sheikh Mustapha Al Masrie selamat dikebumikan di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said di sini, pada kira-kira pukul 2.30 petang tadi selepas hujan renyai-renyai tanpa berpeluang menunggu kepulangan abangnya, yang dijangka tiba di KLIA pada pukul 6 petang.

Bapa kepada angkasawan negara, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor berkata, anaknya itu menaiki pesawat dari Rusia ke Bangkok, tetapi di Bangkok, Dr Sheikh Muszaphar mengalami masalah penerbangan dan beliau terus menghubungi Dr Sheikh Muszaphar.

“Dr Sheikh telah memberi lampu hijau supaya urusan pengkebumian diteruskan tanpa beliau.

“Ini memandangkan jenazah terpaksa menunggu selama lebih dari tiga jam dari jadual sepatutnya iaitu selepas solat Zuhur untuk menunggu abangnya pulang,” katanya kepada pemberita selepas urusan pengkebumian anaknya hari ini.

Jenazah Sheikh Mustapha Al Masrie tiba di perkarangan Masjid Negeri pada pukul 12.55 dari rumah keluarganya di Petaling Jaya.

Kira-kira 100 orang termasuk anggota keluarga dan rakan menghadiri pengkebumian Sheikh Mustapha di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said yang terletak kira-kira 1 kilometer dari Masjid Negeri.

Tanah Perkuburan Tuan Haji Said dipilih memandangkan di situ secara tradisi telah menjadi tempat bersemadinya anggota keluarga Allahyarham sejak dari datuknya lagi iaitu Sheikh Ahmad.

Sheikh Ahmad sendiri merupakan seorang tokoh yang pernah berjasa kepada kerabat Diraja Negeri Sembilan sehinggakan sebatang jalan raya di bandar Seremban berhampiran bangunan UMNO dinamakan sempena namanya.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Hayati Redha, 29 tahun memberitahu pemberita bahawa beliau bertemu suaminya pada 2002 di sebuah restoran dengan bertukar senyuman sebelum berkawan selama setahun.

“Pada 2003 kami berkahwin dan dikurniakan dua orang anak... saya berasa amat terkejut dengan kematian suami tambahan pula anak sulung iaitu Aiman amat rapat dengan abahnya.

“Aiman kerap kali bertanya selepas suami koma, di mana abah, di mana abah malah masih lagi bertanya tentang suami selepas beliau meninggal dunia,” katanya.

Beliau memberitahu suaminya seorang yang amat gemar membaca dan amat mengkagumi Dr Sheikh Muszaphar sejak dari dahulu lagi dan ditambah pula dengan kejayaan beliau menjadi angkasawan.

“Di sebalik kegembiraan beliau apabila abang menjadi angkasawan, suami sebenar tidak mahu abangnya pergi ke angkasa lepas. Beliau seolah-olah tahu mereka berdua tidak akan dapat berjumpa lagi,” katanya.

Hayati yang bertugas sebagai Eksekutif Akaun memberitahu, suaminya seorang yang cukup gemar membaca dan banyak mengajar beliau.

Sejak bermulanya program angkasawan Malaysia dan abangnya menawarkan diri, suaminya gemar bercerita mengenai angkasa lepas.

Beliau yang cuba menahan sebak memberitahu, jika suaminya masih hidup, mereka suami isteri merancang untuk mendengar cerita pengalaman Dr Sheikh Muszaphar di angkasa lepas.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak iaitu Sheikh Aiman Shukor, tiga tahun dan Siti Balkish Shukor, setahun.

Sheikh Mustapha Al Masrie, 32 seorang jurutera awam meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas koma selama seminggu akibat kecederaan di kepala kerana terhantuk pada tiang di sebuah restoran di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada Ahad lepas.

- Bernama

0 comments: