Ulat makanan di angkasa



JADI MAKANAN: Seorang pekerja Amerika Syarikat menunjukkan sejenis spesies kumbang yang dipesan menerusi pos bagi tujuan mengawal serangga. Kumbang ini antara serangga yang mungkin dijadikan sumber makanan angkasawan pada masa depan.

MOSCOW: Agensi angkasa lepas beberapa negara kini mencari jalan memastikan angkasawan mampu memperoleh bekalan makanan mencukupi, termasuk menjadikan serangga dan ulat seperti ulat sutera, anai-anai dan kumbang antara sumber utama dalam misi penerokaan angkasa lepas pada masa depan.

Pada masa ini, angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) memakan makanan disediakan Russia atau Amerika Syarikat biarpun pada masa tertentu juadah istimewa dibawa negara lain turut dihidangkan.

Media sains Barat melaporkan semalam, pemilihan serangga itu menyusuli juadah utama sebelum ini seperti 'Ais Krim Angkasawan' sebagai makanan utama.


Berikutan itu, Pasukan Petugas Khas Pertanian Angkasa Russia dengan kerjasama Agensi Angkasa Jepun, melancarkan usaha mencari sumber makanan berkenaan bagi memastikan angkasawan mendapat makanan mencukupi misi penting termasuk ke Planet Marikh.

Sebarang penerokaan lama ke planet berkenaan memerlukan angkasawan mewujudkan sumber makanan sendiri, kecuali produk atau diet berasaskan sayur-sayuran dan kekacang yang tidak membekalkan keperluan lemak dan asid amino yang mencukupi dan amat diperlukan tubuh.

Penyelidik Kanada, Robert Kok yang terbabit dalam projek itu berkata, serangga amat sesuai menjadi sumber makanan kerana boleh membiak dalam masa singkat dan memerlukan ladang ternakan yang kecil.


"Ia paling layak sebagai sumber makanan manusia mahu pun spesies binatang yang lain. Serangga juga berbakti kepada manusia kerana dapat mengubah bahan yang sukar dihadam manusia kepada bahan yang boleh dimakan seperti dedaun, kayu dan sisa.

"Ini menjadikan serangga dan ulat seperti ulat sutera, kumbang dan anai-anai sebagai bahan pemakanan yang sesuai. Malah, penyelidik Jepun sudah menghasilkan biskut berasaskan daripada ulat sutera," katanya.

Piawaian makanan antarabangsa menetapkan makanan yang dibekalkan perlu mempunyai jangka hayat sekurang-kurangnya setahun, berkhasiat dan mudah disediakan dalam persekitaran yang sifar graviti di angkasa lepas.

Ada makanan yang boleh terus dimakan seperti buah-buahan dan biskut manakala yang lainnya perlu dibancuh dengan air seperti spaghetti.

Kemudahan ketuhar disediakan di angkasa bagi memanaskan makanan tetapi peti sejuk sememangnya tidak ada menyebabkan makanan perlu disimpan rapi bagi mengelak tumpah, khususnya bagi misi yang memerlukan tempoh lama.

Media Russia baru-baru ini melaporkan rancangan Agensi Angkasa Lepas Jepun atau JAXA memasak �juadah angkasa lepas� bagi angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa, tetapi gagal.

Juadah berkenaan merujuk menu penuh negara matahari terbit berkenaan selepas angkasawannya Soichi Noguchi makan mee segera dalam bungkusan khas ketika menyertai misi kapal angkasa Discovery, tahun lalu. - Agensi

0 comments: