Junta bebas 87 aktivis prodemokrasi

YANGON: Junta Myanmar membebaskan 87 lagi yang ditahan dalam tindakan tegas kerajaan termasuk lebih 50 ahli parti pembangkang, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), kata jurucakap parti, Nyan Win.

Selain itu 12 sami dan 14 pelajar yang ditahan juga dibebaskan termasuk Hla Pe, seorang ahli jawatankuasa eksekutif pusat NLD berusia 81 tahun dan Tayzaw Bartha, sami Buddha berusia 76 tahun yang ditahan pada awal Ogos kerana melakukan tunjuk perasaan sendirian di luar Dewan Bandaraya.

Media rasmi berkata sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh apabila tentera dihantar sebulan lalu untuk menamatkan bantahan anti kerajaan besar-besaran dalam tempoh dua dekad walaupun kerajaan Barat berkata jumlah kematian sebenar mungkin lebih tinggi.


Junta juga berkata hampir 3,000 penduduk dan sami Buddha ditahan walaupun beratus-ratus daripada mereka dibebaskan selepas disoal siasat.

Bagaimanapun tindakan jeneral bertugas di negara itu yang mengosongkan penjara di Yangon dicurigai dan mereka menghantar tahanan politik jauh ke ceruk negara itu menjelang lawatan wakil khas PBB yang dijadualkan bulan depan.

Wakil PBB ke Myanmar, Ibrahim Gambari dijadualkan melawat pada minggu pertama November sebagai mengakhiri lawatan diplomatik ke enam negara Asia sebagai usaha untuk memujuk jeneral mengadakan perbincangan dengan pemimpin pembangkang yang ditahan, Aung San Suu Kyi.

Pegawai perhubungan hak asasi kemanusiaan PBB, Paulo Sergio Pinheiro pula akan menyusul selepas itu.

Ia adalah lawatan pertama profesor perundangan Brazil dalam tempoh empat tahun dan beliau memberitahu pemberita akan menuntut supaya tidak dikenakan sekatan hubungan bagi semua penjara.

Sumber keluarga dan saksi berkata bahawa beratus tahanan dipindahkan dari penjara pusat Insein di Yangon minggu lalu dan dipercayai dibawa ke wilayah pedalaman.

Kira-kira 60 banduan dihantar ke Mandalay dengan keretapi Khamis lalu. Sesetengah daripada mereka akan dihantar ke tempat lebih jauh," kata seorang saudara tahanan. � Reuters

0 comments: