Budak mangsa tebusan bapa saudara kian pulih

Oleh M Hifzuddin Ikhsan



KUCHING: Kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa tebusan bapa saudaranya selama 16 jam di sebuah rumah di Bintulu akhir bulan lalu, kini beransur pulih dan boleh menjamah makanan selepas hampir dua minggu mendapat rawatan di wad pediatrik, Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, semalam.

Mangsa, Lok Sze Ming, 6, yang mengalami komplikasi otak dan turut kehilangan tiga jari kiri selepas dipotong lelaki yang kemudian ditembak mati polis selepas enggan menyerah diri, sudah boleh menikmati makanan yang disuap ibunya.


Bapa mangsa, Lok Fong San, 65, berkata keadaan anaknya itu beransur pulih selepas pasukan perubatan yang merawat anaknya berjaya menyedut cecair putih dan membersihkan luka di kepalanya.

“Syukur keadaan Ah Meng (Sze Ming) kembali pulih selepas dipindahkan ke sini dari Hospital Bintulu dengan doktor merawatnya menjangkakan dia boleh dipindahkan semula ke Bintulu sebelum kami dibenarkan membawanya pulang.

“Isteri saya sudah boleh menyuapkan bubur nasi dan dia sudah boleh tersenyum dan menggerakkan anggotanya badannya walaupun belum dapat bercakap,” katanya ketika ditemui di HUS, di sini, semalam.


Fong San ditemui ketika isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Norkiah bersama perkumpulan Pandu Puteri Sarawak menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pesakit kanak-kanak di HUS. Turut hadir Timbalan Pengarah HUS, Dr Norazmi Abdullah.

Sze Ming dimasukkan ke Hospital Bintulu pada 26 September lalu selepas bapa saudaranya, yang hanya dikenali sebagai Jimmy menjadikannya tebusan selepas berlaku pertengkaran keluarga yang menyebabkan mangsa yang sedang tidur di rumah itu dikurung selama 16 jam dalam kejadian di Taman Lihua, Bintulu.

Bapa saudaranya yang dalam keadaan terdesak kemudian memotong tiga jari mangsa serta menikam bahagian atas kepalanya sebelum polis menyerbu dan menembak mati suspek ketika rundingan dijalankan.

Hospital Bintulu cuba menyambungkan kembali tiga jari Sze Ming yang dipotong, tetapi gagal selepas doktor mengesahkan tisu pada jari itu sudah mati selain ia boleh menyebabkan komplikasi serius jika diteruskan.

0 comments: