‘Kami ke landasan kerana takut dipukul senior’


BERKONGSI KESEDIHAN...Empat pelajar, dari kiri, Mohd. Farhan Supran, Muhammad Syahir Omar, Fairul Afiqry Abu Samah dan Mohd. Saiful Abd. Rahim menatap akhbar Utusan Malaysia di Rembau, semalam, mengenai kejadian yang menimpa dua rakan karib mereka, Mohd. Hafiz Adnan (gambar kecil, kiri) dan Fazrul Asri Zulkifli yang maut digilis kereta api kargo, kelmarin. - Gambar ABDUL RAZAK AID.

REMBAU 27 Okt. – Takut kepada pelajar senior dikatakan punca tujuh pelajar Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim (SMAHMY), keluar dari asrama dan tidur di kawasan landasan kereta api hingga menyebabkan dua daripada mereka maut kelmarin.

Empat daripada lima pelajar yang terselamat itu memberitahu mereka keluar dari asrama itu kelmarin selepas digertak oleh pelajar senior yang mahu memukul mereka.

Mohd. Farhan Supran, 14 berkata, mereka tidak akan keluar dari asrama itu jika pelajar senior berkenaan tidak menggertak mahu memukul dan kejadian itu sebenarnya telah berlaku sejak dua tahun lalu.

“Pelajar senior hendak pukul kami dan arwah. Kami keluar untuk menyelamatkan diri dan duduk di landasan kereta api itu. Ini kali pertama kami berbuat begitu,” katanya dalam nada sedih ketika ditemui di sekolah berkenaan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kelmarin dua daripada tujuh pelajar SMAHMY terbunuh selepas digilis oleh kereta api kargo ketika nyenyak tidur di atas landasan kereta api selepas keluar dari asrama sekolah berkenaan tanpa kebenaran.

Mangsa yang terbunuh itu, Mohd. Hafiz Adnan, 14, dan Fazrul Asri Zulkifli, 14, gagal dikejutkan lima lagi rakan mereka ketika kereta api itu semakin hampir di lokasi tempat mereka digilis.

Kejadian menyayat hati itu berlaku kira-kira pukul 11.45 malam kelmarin di hadapan Mohd. Farhan serta rakannya, Fairul Afiqry Abu Samah, Muhammad Syahir Omar, Mohd. Saiful Abd. Rahim dan Zainol Ariffin Asmad yang turut berada bersama kedua-dua mangsa di lokasi kejadian. Kesemua mereka berusia 14 tahun.

Zainol Ariffin tidak berada di sekolah hari ini kerana dibenarkan pulang ke rumah keluarganya berhampiran sekolah ini.

“Saya yang mengejutkan arwah Fazrul, tetapi dia tidak bangun. Saya gerakkan badannya, dia tidak langsung sedar. Ketika itu kereta api cuma 100 meter jaraknya dari saya.

“Kejadian itu berlaku terlalu pantas dan selepas kami semua terpelanting, saya kembali ke landasan. Saya lihat hanya tangan Fazrul yang kelihatan dan kepalanya kemik,” katanya.

Mohd. Farhan berkata, dia dan rakan-rakan lain serta arwah tidak merokok atau khayal kerana mereka memang terlalu letih dan terlelap di situ.

“Sebelum ini, kami semua tidur di jambatan berhampiran sungai. Tetapi arwah kata, kita tidur sahaja di landasan sebab di jambatan itu banyak nyamuk.

“Kami menyesal dengan kejadian ini. Kami tidak akan ulangi lagi perbuatan ini. Kami insaf,” katanya.

0 comments: