Myanmar bebas tahanan menjelang lawatan wakil PBB

YANGON 27 Okt. – Junta Myanmar membebaskan 87 lagi penunjuk perasaan yang ditangkap dalam operasi untuk menghancurkan protes antikerajaan bulan lepas.

Jurucakap Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Nyan Win hari ini berkata, bilangan itu termasuk lebih 50 anggota parti pembangkang itu.

Selain 12 sami Buddha dan 14 pelajar, tahanan yang dibebaskan termasuk anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat NLD, Hla Pe, 81, dan Tayzaw Bartha, seorang sami Buddha berusia 76 tahun yang ditangkap pada awal Ogos lalu kerana melancarkan protes sendirian di luar Dewan Bandar Raya.

Junta telah menyatakan, hampir 3,000 orang awam dan sami Buddha ditangkap dalam operasi bulan lepas walaupun kesemuanya kecuali beberapa ratus telah dibebaskan selepas disoal siasat.

Namun para jeneral itu disyaki sedang mengosongkan penjara di Yangon dan menghantar tahanan politik ke penjara-penjara terpencil di seluruh negara menjelang lawatan dua utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke sini bulan depan.

Utusan khas PBB mengenai Myanmar, Ibrahim Gambari dijadual tiba pada minggu pertama bulan depan pada akhir rangka lawatan diplomat ke enam negara Asia untuk cuba memaksa junta mengadakan dialog dengan pemimpin NLD yang ditahan, Aung San Suu Kyi.

Pelapor hak asasi manusia PBB, Paulo Sergio Pinheiro dijadual tiba tidak lama kemudian.

Lawatan tersebut nanti adalah yang pertama ke Myanmar oleh profesor undang-undang dari Brazil itu dalam masa empat tahun.

– Reuters

0 comments: