TNB tidak mohon naik tarif elektrik

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Tenaga Nasional Berhad berkata, syarikat utiliti itu tidak pernah memajukan sebarang permohonan kepada kerajaan untuk mengkaji semula tarif elektrik.

‘‘TNB ingin memaklumkan bahawa syarikat ini tidak pernah memajukan apa-apa permohonan kepada kerajaan untuk mengkaji semula tarif seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 25 Oktober,’’ kata TNB dalam satu kenyataan hari ini sebagai reaksi kepada laporan Utusan Malaysia yang disiarkan pada 25 Oktober lalu.

Laporan muka depan Utusan Malaysia pada 25 Oktober lalu menyatakan bahawa kerajaan mungkin tidak mempunyai pilihan, selain menaikkan tarif elektrik di negara ini berikutan kenaikan berterusan harga bahan bakar termasuk minyak dan gas global.

Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, TNB kini menanggung kos operasi yang tinggi berikutan kenaikan harga minyak dan gas serta arang batu di pasaran.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pengumuman keputusan kewangan syarikat utiliti itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2007 oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie di sini pada 25 Oktober lalu.

Che Khalib seterusnya berkata, TNB telah menghantar cadangan kepada kerajaan berhubung kenaikan kadar tarif elektrik dan terpulanglah kepada kerajaan untuk membuat keputusan.

0 comments: