Kenaikan harga tepung pelbagai guna sukar dikawal

KLANG 28 Okt. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sukar mengawal kenaikan harga tepung pelbagai guna memandangkan barangan itu tidak termasuk dalam senarai barangan kawalan.

Timbalan Menteri KPDN&HEP, Datuk S. Veerasingam bagaimanapun menegaskan kenaikan itu adalah pada paras yang munasabah.

Peningkatan harga barangan itu, katanya, berikutan musim kemarau di Australia, antara negara pengeluar utama tepung yang menyebabkan harga naik purata 70 peratus daripada AS$235 setan metrik sebelum September kepada hampir AS$400 setan metrik sekarang selain kesan peningkatan harga minyak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis mesra kebajikan Deepavali 2007 di sini, hari ini.

Statistik KPDN&HEP menunjukkan harga tepung diperkaya naik 30 sen sekilogram pada September lalu sebelum pengumuman kenaikan harga sebanyak 60 sen sekilogram baru-baru ini.

Katanya, kementerian akan tetap menjalankan pemantauan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga sesuka hati melebihi harga pasaran sebenar.

Pada majlis itu, seramai 1,000 orang termasuk golongan kurang upaya, orang miskin, anak yatim dan warga emas sekitar Klang menerima sumbangan berupa barangan makanan sempena Deepavali.

- Bernama

0 comments: