Mangsa kebakaran trauma

Pasukan Palang Merah terpaksa hantar pakar mental ke California

SAN DIEGO: Pasukan Palang Merah Amerika terpaksa menghantar beratus-ratus pakar kesihatan mental yang terlatih menangani mangsa bencana, ke kawasan kebakaran hutan di selatan California untuk membantu beribu-ribu penduduk mengatasi trauma akibat kehilangan dan kemusnahan harta benda, kata seorang pegawai pertubuhan itu.

Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Mental, Rob Yin, berkata pihaknya akan melakukan segala yang termampu untuk memeriksa, membantu dan menyediakan rujukan di pusat perkhidmatan Palang Merah dan pusat bantuan lain yang ditubuhkan kerajaan dan agensi tempatan.


"Langkah menyediakan segala keperluan untuk kesihatan mental dan menangani trauma yang berlaku adalah misi utama Palang Merah di wilayah ini," katanya.

Laporan media tempatan menyatakan sebilangan besar penduduk yang kembali ke kediaman masing-masing terkejut besar melihat kemusnahan yang berlaku, manakala sebahagian yang lain hampir gila akibat terlalu sedih.

Beliau berkata sesiapa saja yang menghadapi bencana pasti akan mengalami tekanan dan trauma sama ada secara langsung atau tidak langsung.


Pada masa sama katanya Palang Merah turut mengambil langkah sama untuk membantu kanak-kanak yang keluarga mereka terjejas akibat kebakaran itu.

"Kami mahu ibu-bapa membantu anak mereka menghadapi bencana itu dengan memberi khidmat nasihat dan sentiasa bersikap positif selain bersedia mendengar pandangan mereka," katanya.

Sementara itu, lebih 12,000 mangsa kebakaran hutan di California yang terselamat, sebaliknya berdepan masalah seperti pencemaran air, ketiadaan bekalan elektrik serta sumber air minuman.

Di San Diego, kawasan paling teruk terjejas, hanya satu daripada 5 kebakaran dapat dikawal sepenuhnya.

Secara keseluruhan lebih 12 kebakaran berlaku di sekitar kawasan 202,000 hektar atau 2,023 kilometer persegi sejak semalam, manakala antara tiga hingga tujuh orang dikhuatiri terbunuh. Tujuh orang lagi meninggal dunia atas sebab lain selepas diselamatkan.

Kira-kira 1,700 rumah musnah atau rosak dengan kerugian dianggarkan melebihi AS$1 bilion (RM3.54 bilion) di San Diego saja.

Seramai 71 anggota bomba dan kira-kira 30 penduduk awam turut cedera di seluruh kawasan selatan California.

Seorang daripada lima suspek yang ditangkap atas dakwaan menyebabkan kebakaran mengaku tidak bersalah di mahkamah kelmarin. - Agensi

0 comments: