Sekatan AS tidak berkesan – Saeed

TEHERAN 27 Okt. – Ketua perunding nuklear baru Iran, Saeed Jalili tidak mengendahkan sekatan terbaru Amerika Syarikat (AS) ke atas negaranya.

Menurut Saeed, tindakan itu tidak akan mendatangkan sebarang kesan terhadap dasar-dasar nuklear Teheran.

“Sekatan baru itu seperti semua sebelumnya ( sekatan yang dikenakan sejak 28 tahun lalu) tidak akan membawa apa-apa kesan terhadap dasar Iran,” kata Saeed semalam di lapangan terbang Teheran sekembalinya dari rundingan di Rom dengan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Javier Solana.

Beliau menegaskan, sekatan terbaru yang diumumkan kelmarin itu hanya akan menyebabkan AS tersisih di arena antarabangsa.

Sekatan AS itu ditujukan khusus terhadap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang didakwa menyebarkan senjata pemusnah besar-besaran, dan unit elit IRGC, Pasukan Quds yang dicap sebagai penyokong keganasan.

Tiga bank milik kerajaan Iran turut disenaraihitamkan bersama-sama syarikat yang dikuasai oleh IRGC selain cabang lojistik Kementerian Pertahanan Iran.

Tindakan itu adalah sebahagian kempen Washington mengetepikan Iran daripada sistem perbankan global.

Walaupun mengalami sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Teheran tetap enggan menggantung program pengayaan uraniumnya yang penuh kontroversi.

Saeed dan ketua perunding sebelum beliau, Ali Larijani menghadiri rundingan dengan Solana di Itali.

– AFP

0 comments: