Kedah peruntuk RM6j musim baru

Oleh: SHARIZA ABDULLAH

ALOR STAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi menampung keperluan skuad Liga Super, Piala Presiden, belia dan akademi Sang Kenari dalam mengharungi musim baru Liga Malaysia (Liga M) yang dijadual bermula 18 November ini.

Pengurus pasukan, Datuk Othman Aziz berkata, jumlah itu lebih tinggi berbanding RM5.7 juta yang dibelanjakan tahun lalu.

Menurut beliau, peruntukan musim ini lebih tinggi berikutan kenaikan gaji para pemain sehingga 15 peratus di samping bajet baru dalam pengurusan pasukan Liga Super Hijau Kuning termasuk mewakili negara dalam saingan Piala AFC.

Jelasnya, bagi pasukan utama Kedah yang membawa pulang Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia musim lalu, sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan termasuk untuk membayar gaji pemain.

‘‘Walaupun jumlah itu agak besar, namun KFA akan mencari sumber untuk menampung peruntukan berkenaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di rumahnya, di Bandar Darulaman di sini, semalam.

Rumah terbuka itu turut mengadakan majlis menandatangani perjanjian kontrak baru antara KFA bersama 23 pemain yang bakal membawa cabaran Kedah dalam saingan musim depan.

Ia disaksikan oleh Presiden KFA, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pada majlis itu juga, Othman mengingatkan pemain supaya tidak menimbulkan soal pemberian bonus pada musim baru kerana ia merupakan hak mutlak KFA untuk menentukannya.

‘‘Pemberian bonus adalah bergantung kepada budi bicara KFA memandangkan ia tidak terkandung dalam perjanjian yang ditandatangani pemain.

‘‘Bagaimanapun pemberiannya terutama kepada pemain-pemain utama merupakan salah satu cara untuk menaikkan semangat pemain lain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan Sang Kenari, beliau memberitahu skuad Kedah akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan di Stadium Darul Aman iaitu menentang pasukan Polis pada 31 Oktober ini, Pulau Pinang (4 November) dan Selangor pada 11 November.

Selain itu, katanya, skuad Hijau Kuning akan berkampung di Langkawi selama beberapa hari untuk mengadakan latihan pusat terutama dalam membentuk kekuatan metal dan kecergasan para pemain sebagai persiapan musim baru Liga M.

0 comments: