PM buat apa bila harga tepung naik senyap-senyap, himpit hidup rakyat?

Azamin Amin
Sun | Oct 28, 07 | 7:21:37 am MYT

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Hrkh) - "Naik, naik dan naik lagi!" begitulah keluhan rakyat khususnya pengguna semakin mual dan mangli dengan kenaikan harga barang yang sudah tidak dapat dielakkan lagi (meminjam kata para menteri).

Dalam kegawatan itu, akan kedengaranlah suara lunak dan 'penenang jiwa' keluar dari buah mulut orang kuat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna termasuk sebilangan pemimpin kerajaan yang akan cuba melembutkan hati rakyat yang semakin resah dengan fenomena yang semakin menekan hidup mereka ini.

Kata-kata seperti 'kita akan pantau', 'kita akan kawal' dan 'kita akan bertindak' sudah menjadi zikir yang tidak lut lagi di minda rakyat kerana biarpun dijadikan slogan harian, harga barang tetap naik mendadak sama ada dibantah ataupun tanpa disedari umum.

Bermula daripada rentetan kenaikan harga bahan bakar minyak, gas ianya kemudian menjangkiti produk keperluan pengguna yang lain seperti gula, minyak masak, ayam dan yang terkini tepung.

Dalam keluhan itu, seorang pengusaha bakeri bumiputera yang menulis surat dalam akhbar tempatan meminta Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya campur tangan dalam isu ini yang menyatakan bahawa dalam tempoh dua bulan ini iaitu di antara September dan Oktober 2007, harga tepung bagi beg berlabel warna merah dan biru telah naik sebanyak RM7.50 bagi satu beg.

"Selepas Hari Raya Aidilfitri ini dijangka naik lagi sebanyak RM15 bagi setiap beg (1 beg ialah 25kg). Tepung beg berlabel warna merah dan biru ialah tepung yang diperkaya untuk membuat roti, kek dan biskut," katanya.

Tepung beg berlabel warna hijau ialah tepung pelbagai guna untuk kuih tradisional, roti canai dan mi kuning.

Harga tepung beg warna hijau ini belum naik dan masih di peringkat perbincangan di antara pengilang tepung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Apa yang lebih merisaukan katanya ialah kenyataan menteri yang bertanggungjawab pada 10 Oktober lalu iaitu, "untuk menyerap kenaikan harga tepung di pasaran dunia, pengilang tepung disarankan menaikkan harga tepung diperkaya bagi memberi subsidi kepada tepung pelbagai guna."

Mungkin rakyat tidak sedar kenaikan harga ini kerana mereka menggunakan tepung pelbagai guna untuk membuat kuih tradisional.

Tambahan pula di saat keriuhan protes kenaikan harga ayam, sebenarnya pengilang tepung (semua pengilang tepung di Malaysia ialah milik bukan bumiputera) telah secara senyap-senyap menaikkan juga harga tepung yang diperkaya, katanya.

Analisis yang dibuat menunjukkan kenaikan harga tepung diperkaya telah berlaku sebanyak dua kali dalam tempoh setahun ini iaitu pada Disember 2006 sebanyak RM2.50 bagi satu beg (10 sen bagi satu kg).

Manakala kenaikan terbaru ialah pada September 2007 sebanyak RM7.50 bagi satu beg (30 sen bagi satu kg). Sedangkan semenjak tahun 2000 sehingga Disember 2006 harga tepung tidak pernah naik.

Ini bermakna tidak sampai satu tahun harga tepung diperkaya naik sebanyak RM25 bagi satu beg atau RM1 bagi satu kg atau kenaikan sebanyak 72 peratus.

Jika sebelum Disember 2006 harga tepung diperkaya satu beg 25kg ialah RM34.30, kini harganya telah naik RM44.30 dan dalam bulan ini akan naik lagi kepada RM59.30.

Kesan kenaikan tersebut ialah harga roti di pasaran telah meningkat dan akan terus meningkat. Begitu juga dengan harga biskut dan kek.

Kerajaan tolak penubuhan suruhanjaya harga

"Dua tiga tahun lepas harga roti sandwic 700g ialah RM1.60, sekarang harganya ada yang mencecah RM3 dan lebih. Harga roti ban sebelumnya ialah RM0.30 dan sekarang di antara RM0.60 hingga RM1.50 sebiji, selepas ini...?" katanya yang tidak puas hati dengan situasi yang berlaku.

"Mengapa kenaikan seteruk ini tidak pernah berlaku sebelum ini? Apabila dicadangkan penubuhan suruhanjaya harga, kementerian bertanggungjawab menolaknya mentah-mentah?" soalnya yang berasal dari Pontian, Johor.

Jika kementerian boleh tunduk kepada pengilang, penternak dan peniaga eloklah jika Perdana Menteri campur tangan dalam perkara ini demi memastikan nasib pengusaha IKS dan pengguna terpelihara daripada kilang-kilang yang tamak dan tiada tanggungjawab sosial ini, kata Usahawan Industri kecil ini.

Presiden Persatuan Pengilang Roti, Mashood Wahab sebelum ini turut memberi respon kenaikan harga tepung ini,"tidak pernah dalam sejarah industri tepung naik sebegitu mendadak dan drastik."

Katanya berikutan itu roti sandwich telah dijual pada harga RM1.20 (kecil) manakala RM2 (besar) oleh ahli-ahli persatuan.

Mengikut statistik, Malaysia mengimport sebanyak 1.2 juta tan bijirin setahun. Mashood kata persatuan bertemu Kementerian dan menteri terbabit untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian.

"Saya harap sesuatu akan terhasil dalam perbincangan itu jika tidak sebilangan bakeri akan gulung tikar manakala yang lain akan mengurangkan tenaga kerja,"katanya. - mks.

0 comments: