’Jangan asing agama, kaum’

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar



IPOH: Malaysia sebagai negara yang mempunyai penduduk pelbagai agama dan kaum tidak wajar memiliki institusi pendidikan yang mengasingkan kelompok berdasarkan agama atau kaum.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, bertitah sebaliknya komponen yang merangkaikan hubungan antara warganegara pelbagai agama dan kaum mestilah menjadi komponen penting dalam pendidikan.


Baginda bertitah, dasar dan pelaksanaan agenda pendidikan hendaklah meletakkan isu hubungan agama dan kaum sebagai satu keutamaan.

"Sebagai warga yang berpijak di bumi yang sama dan menghirup udara yang sama, amatlah penting untuk setiap warga dipupuk dan dibentuk melalui sistem pendidikan sama.

"Kepentingan nasional dan kepentingan negara perlu diberi keutamaan mengatasi kepentingan kelompok," titahnya ketika menyempurnakan Sambutan Jubli Emas Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star) di sini, semalam.


Turut hadir Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Husin yang juga Presiden Persatuan Bekas Pelajar Star dan Menteri Besar Terengganu yang juga bekas pelajar Star, Datuk Seri Idris Jusoh.

Sultan Azlan bertitah, negara akan mendapat manfaat lebih besar jika sekolah berasrama penuh (SBP) dapat mencerminkan komposisi masyarakat Malaysia yang lebih menyeluruh.

Titah Baginda, warga muda negara ini harus didedah dan dididik untuk saling memahami, saling menghormati dan saling bekerjasama antara satu sama lain.

"Melalui peluang tinggal bersama, bermain bersama dan belajar bersama, warga muda akan dapat melihat diri mereka pertamanya sebagai warga Malaysia di negara merdeka dan komponen kaum menjadi elemen kedua yang kurang penting," titahnya.

Sultan Azlan bertitah, fungsi sekolah bukan saja seperti kilang untuk mengeluarkan produk berkelulusan akademik, malah menjadi tapak sesuai untuk mengembangkan bakat kepemimpinan, seni dan sukan.

Titahnya, sekolah juga menjadi tapak untuk membina hubungan manusia sesama manusia.

Baginda bertitah, peranan menyeluruh demikian wajib dipenuhi oleh institusi sekolah.

"Sekolah yang menumpukan perhatian kepada bidang akademik semata-mata sebenarnya hanya memenuhi separuh daripada peranannya.

"Peranan sekolah lebih menyeluruh dan menjadi lebih kritikal bagi SBP kerana di peringkat usia formatif, pelajar berada di alam sekolah sepenuh masa," titahnya.

Star adalah SBP ditubuhkan pada 1957 dan mengambil nama sempena Yang Dipertuan Agong pertama.

0 comments: