PM ajak petani kongsi niaga

Oleh Ahmad Naim Tahir, Saufi Hamzah dan Hussain Said

SIMBOLIK: Abdullah menyiram replika pokok bunga raya ketika merasmikan Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 sambil diperhati Mohamad Hasan (kiri), Muhyiddin dan Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Azman Hasan (kanan) di Seremban, semalam." height="228" width="360">
SIMBOLIK: Abdullah menyiram replika pokok bunga raya ketika merasmikan Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 sambil diperhati Mohamad Hasan (kiri), Muhyiddin dan Setiausaha Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Azman Hasan (kanan) di Seremban, semalam.

Melayu perlu teroka industri secara koperasi agro

SEREMBAN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu petani seluruh negara memajukan sektor industri asas tani secara koperasi agro bagi membolehkan mereka berkongsi dalam perniagaan yang menjamin keuntungan lebih lumayan.

Perdana Menteri berkata dengan cara itu, pembabitan orang Melayu tidak sekadar terhad di ladang dan sebagai petani semata-mata, sebaliknya dapat meneroka serta mempelbagaikan aktiviti dalam sektor pertanian.


"Saya mahu koperasi memberi fokus kepada satu saja iaitu industri asas tani. Kalau kita tidak membabitkan petani dalam bidang ini, kedudukan mereka selama-lamanya sekadar menjadi petani, setakat tanam dan jual hasil.

"Kalau secara individu apa yang dia (petani) ada, nak beli syer pun berapa banyak boleh beli. Atas nama koperasi sudah pasti boleh. Koperasi pertanian sekarang sudah hebat seperti di bawah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas). Memang ada bukti mereka berjaya, kita mahu begitu supaya usaha dibuat secara besar-besaran tapi mahu lebih fokus kepada tanaman tertentu supaya industri ini diwujudkan di luar bandar di mana ada produk pertanian," katanya.

Perdana Menteri bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 anjuran bersama Biro Pertanian Umno dan Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan di Allson Klana Resort di sini, petang semalam. Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan.


Beliau yang juga Presiden Umno berkata, kawasan pertanian yang terbiar di negara ini perlu dikenal pasti bagi membolehkannya diusahakan dan dipulihkan secara komersial.

"Kita kena buat banyak perubahan... kerja kuat, perubahan sikap, minda dan pendekatan keseluruhan dalam sektor pertanian supaya hasil lebih baik dan apa saja usaha yang kita lakukan mesti membabitkan nilai tambah," katanya.

Ketika berucap, Abdullah berasa sedih kerana nasib orang Melayu dalam sektor pertanian masih ketinggalan berbanding bangsa lain kerana tidak dapat menikmati sepenuhnya kekayaan hasil usaha mereka walaupun sudah sekian lama terbabit dalam bidang itu.

Pertanian, katanya adalah bidang berpotensi dan menjanjikan kekayaan, tetapi akibat sebab tertentu seperti kekurangan modal atau usaha, orang Melayu gagal memperoleh nikmat itu sepenuhnya.

"Orang Melayu tanam padi, getah dan sawit, tapi ia dipanggil kebun, manakala yang diusahakan orang lain dipanggil ladang. Kita tanam buah dan buat kolam ikan, tapi hanya kebun dan kolam kecil. Kita hanya seronok jadi penanam atau pengeluar.

"Bila ditanya mengapa hasil kita tak setinggi orang lain, kata tak ada duit... kita bantu, tapi dari segi kualiti dan produktivitinya masih kurang, apakah sebabnya," katanya.

Abdullah berkata, industri asas tani tidak pernah menjadi milik orang Melayu, sedangkan bahan mentah digunakan untuk industri berkenaan yang menghasilkan pulangan besar dan keuntungan berjuta-juta, dikeluarkan orang Melayu.

"Saya bukan nak menidakkan ada orang Melayu berjaya (dalam pertanian dan industri asas tani), tapi bilangannya amat kecil... kita yang keluarkan barang (hasil ladang), tapi pendapatan terhad di situ. Sekadar tanam dan jual, sedangkan nilai tambahnya begitu besar.

FAKTA NOMBOR
Sektor pertanian


RM6.9b - Peruntukan RMK-9
10,000 - Sasaran usahawan tani menjelang 2010
2,974 - Usahawan sehingga Jun lalu
RM2,000 - Jangkaan perolehan sebulan

0 comments: