Sekolah diarah sedia laporan pelajar digilis

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengarahkan pentadbiran Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim (SMHMY), Ulu Gadong, Rembau menyediakan laporan terperinci berhubung kejadian dua pelajar sekolah itu mati digilis kereta api dua hari lalu, termasuk berhubung disiplin dan pengawasan di asrama.

Timbalan Pengerusi Portfolio Pelajaran (Sekolah Menengah dan Pengajian Tinggi) negeri, Datuk Ismail Lasim, berkata laporan itu perlu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil, sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang.

"SMHMY adalah sekolah di bawah kerajaan negeri, kita minta pengurusan sekolah berkenaan menyediakan laporan lengkap mengenai tragedi itu dan diserahkan secepat mungkin untuk tindakan lanjut," katanya, di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pembangunan Usahawan negeri, berkata kerajaan negeri memandang serius masalah disiplin di kalangan pelajar dan mahu ia diatasi sepenuhnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam Khamis lalu, Fazrul Asri Zulkeffli, 14, dari Taman Medan, Petaling Jaya dan rakannya, Mohd Hafiz Adnan, 14, dari Setapak, Kuala Lumpur, mati digilis kereta api barang di Kampung Tanjung, tidak jauh dari sekolah mereka.

Mereka dikatakan bersama lima lagi rakan melepak di atas landasan berkenaan selepas menyelinap keluar dari asrama sebelum dikatakan turut tertidur di atas landasan terbabit, tetapi lima rakan mereka berjaya menyelamatkan diri selepas menyedari ketibaan kereta api dari Kuala Lumpur ke Singapura itu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom, dilaporkan berkata laporan bedah siasat dan ujian darah yang dijalankan ke atas kedua-dua pelajar berkenaan mendapati mereka negatif dadah atau alkohol.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Shahriza Embi, berharap kejadian terbaru itu menjadi iktibar kepada orang ramai, terutama yang tinggal berhampiran landasan supaya tidak melanggar peraturan dengan menceroboh kawasan landasan.

"Kami turut sedih dan bersimpati dengan keluarga dua pelajar itu dan akan terus berusaha meningkatkan kesedaran orang ramai, termasuk melalui ceramah dan pengedaran risalah berhubung bahaya menceroboh landasan," katanya.

0 comments: