Tahanan Muslim saman Britain

Banduan dakwa pengurusan penjara hidang sandwic babi untuk buka puasa

LONDON: Sekumpulan 16 tahanan Muslim yang ditempatkan di sebuah penjara dikawal ketat Britain, kini dalam proses mengemukakan saman dan menuntut ganti rugi bernilai jutaan pound terhadap kerajaan negara Barat berkenaan yang menghidangkan juadah daging babi untuk berbuka puasa, bulan lalu.

Akhbar Daily Mail melaporkan semalam, lebih 200 tahanan Muslim di sebuah penjara yang tidak dinyatakan, dipercayai ditawarkan hidangan sandwic daging babi itu yang sememangnya diharamkan Islam.


Mereka boleh mendapat ganti rugi sehingga £10,000 (RM70,000) seorang jika menang kes berkenaan di mahkamah.

Tahanan terbabit mendakwa tindakan pihak pengurusan penjara itu mencabuli hak asasi manusia kerana sepatutnya menyedari apa yang boleh dan tidak boleh dihidangkan kepada tahanan Muslim.

Sandwic berkenaan adalah antara tiga pilihan yang tertera pada kad menu yang diwujudkan khas pengurusan penjara sempena bulan Ramadan lalu.


Mereka kemudian bertindak mengemukakan aduan kepada pegawai penjara yang bertugas pada sebelah malamnya tetapi sebaliknya dimaklumkan yang menu itu salah.

"Saya terkejut sebaik membuka pek juadah yang mengandungi sandwic daging. Saya sebaliknya membantah dan meminta agar diberikan sandwic keju sebagai pertukaran," kata seorang tahanan berusia 28 tahun yang enggan dikenali.

Dia yang menjalani hukuman penjara kerana kesalahan memandu menyifatkan tindakan pihak penjara itu sebagai keterlaluan.

"Ia jelas satu perbuatan mencabuli hak asasi sebagai manusia dan umat Islam. Saya mahukan pampasan."

Dia mendakwa, permintaan mereka menukar juadah itu tidak dilayan dan disebabkan terlalu lapar selepas seharian berpuasa, ada di antara tahanan itu memakan sandwic daging babi berkenaan.

Kate Maynard, jurucakap firma guaman Hickman and Rose Solicitors yang mewakili beberapa tahanan terbabit berkata:

"Antara isu utama yang mereka perjuangkan adalah diberi makanan yang tidak halal. Mereka berhasrat membawanya ke mahkamah bagi memastikan persekitaran penjara yang lebih baik dan menepati syarat agama yang ditetapkan." - Agensi

0 comments: