‘Biodiesel satu jenayah’ - Bawa malapetaka kemanusiaan, kos makanan lebih mahal

NEW YORK 27 Okt. – Seorang pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan amalan menukar tanaman sumber makanan menjadi sumber bahan bakar bio termasuk biodiesel sebagai “satu jenayah terhadap kemanusiaan.”

Pakar bebas PBB mengenai hak mendapat makanan, Jean Ziegler semalam berkata, amalan yang semakin meluas itu mengakibatkan kekurangan bekalan makanan dan kenaikan harga yang memaksa berjuta-juta penduduk miskin menanggung kelaparan.

Ziegler yang memegang jawatan tersebut sejak diwujudkan pada 2000 menggesa supaya pengeluaran bahan bakar bio dibekukan selama lima tahun bagi menghentikan apa yang disifatkan oleh beliau sebagai “malapetaka” semakin buruk bagi golongan miskin.

Beliau menegaskan, kemajuan penyelidikan saintifik begitu pesat sehinggakan “dalam tempoh lima tahun lagi bahan bakar bio seperti biodiesel boleh dihasilkan daripada bahan sisa pertanian” dan bukan daripada gandum, jagung, tebu dan tanaman lain.

Penggunaan bahan bakar bio sebagai ganti petrol dalam kenderaan dianggap boleh mengurangkan pengeluaran karbon dioksida yang menyumbang kepada pemanasan global.

Penggunaan tanaman untuk bahan bakar bio giat dilakukan terutamanya di Brazil dan Amerika Syarikat (AS).

Mac lalu Presiden AS, George W. Bush dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva menandatangani perjanjian kerjasama kedua-dua negara untuk meningkatkan pengeluaran etanol.

Mereka berkata, penggunaan bahan bakar alternatif yang meningkat boleh membawa kepada lebih banyak pekerjaan, mewujudkan persekitaran lebih bersih dan mengurangkan pergantungan kepada minyak.

Ziegler menyifatkan motif mereka sebagai wajar tetapi menambah, kesan penukaran ratusan ribu tan jagung, gandum, kacang dan minyak kelapa sawit menjadi bahan bakar membawa malapetaka kepada penduduk yang kelaparan.

Harga gandum di pasaran dunia meningkat sekali ganda dalam masa setahun dan harga jagung meningkat empat kali ganda, menyebabkan negara miskin terutamanya di Afrika tidak mampu membayar kos makanan import, katanya.

“Kerana itu adalah jenayah terhadap kemanusiaan untuk menggunakan tanah pertanian bagi mengeluarkan bahan bakar bio ,” kata beliau pada satu sidang media.

Sebagai contoh, beliau berkata, 231 kilogram jagung diperlukan untuk menghasilkan 49.2 liter etanol.

Jagung sebanyak itu mencukupi untuk memberi makan kepada seorang kanak-kanak di Zambia atau Mexico selama setahun, tambah Ziegler.

– AP

0 comments: