Khidmat kereta api Thailand lumpuh

BANGKOK 31 Okt. – Beribu-ribu penumpang kereta api di Thailand terkandas hari ini selepas kesatuan sekerja melancarkan mogok di seluruh negara bagi membantah satu perjanjian perdagangan antara kerajaan Thai dengan Jepun.

Kesatuan kereta api Thailand mendakwa perjanjian berkenaan memberi peluang kepada syarikat-syarikat Jepun mengemukakan tender untuk mendapatkan kontrak perkhidmatan kereta api di negara ini.

Para pegawai berkata, kira-kira 2,000 penumpang terpaksa diangkut dengan beberapa buah bas apabila kereta api berkenaan berhenti 800 kilometer ke selatan Bangkok semasa dalam perjalanan ke sembilan destinasi di selatan Thailand.

“Mogok tersebut memaksa Perkhidmatan Kereta Api Thailand membatalkan jadual harian untuk 18 perjalanan dari dan ke Bangkok, yang melibatkan antara dua hingga tiga ribu penumpang sehari,” kata Pengarah Perkhidmatan Kereta Api ke Selatan Thailand, Tanongsak Pongprasert.

Sebanyak 12 lagi perkhidmatan kereta api yang membawa 1,000 penumpang sehari di selatan turut dibatalkan, katanya.

Mogok turut menghentikan tujuh perjalanan di utara, kata Pengarah Perkhidmatan ke Utara Thailand, Surin Piaprasert.

Ketua Perkhidmatan Kereta Api Thailand cawangan Selatan Thailand, Supichet Suwanchatree memberitahu mogok itu bertujuan menggesa kerajaan supaya menghentikan liberalisasi industri logistik yang boleh menjejaskan syarikat kereta api Thailand yang dibelenggu hutang.

Tetapi seorang pegawai Kementerian Perdagangan memberitahu Reuters bahawa kesatuan kereta api itu salah faham tentang Perjanjian Perkongsian Ekonomi Thailand-Jepun (JTEPA) yang akan mula dikuatkuasakan esok.

“Sebenarnya tiada hubungan langsung antara JTEPA dan penswastaan industri kerajaan. Ada golongan tertentu yang cuba mempolitikkan isu ini,” kata pegawai itu.

– Reuters

0 comments: