Eksperimen Sheikh Muszaphar berjaya

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Pasukan saintis tempatan yang sebelum ini bimbang bahan penyelidikan angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha rosak semasa pendaratan kapsul Soyuz TMA-10, menarik nafas lega apabila ia tidak berlaku.

Ketua Delegasi Saintis Malaysia untuk Program Angkasawan Negara, Profesor Dr. A. Rahman A. Jamal berkata, analisis terbaru yang dilaksanakan mendapati kesemua bahan penyelidikan tersebut tidak terjejas langsung malahan menunjukkan keputusan positif.

Menurutnya, analisis terhadap protein yang sedang dilakukan di Jepun memperlihatkan ia menghablur dengan baik.

“Begitu juga sel kanser, semalam kami dapati ia membiak dengan elok tapi sel kanser masih dianalisis dan akan memakan sedikit masa.

“Kita anggap eksperimen Sheikh Muszaphar di angkasa lepas berjaya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Eksperimen yang dijalankan angkasawan negara di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) melibatkan tiga komponen penting iaitu sel kanser serta sel mikrob (bakteria) dan penghabluran protein.

Bahan penyelidikan sel kanser dan mikrob tiba di tanah air dari Moscow, Rusia, Khamis lalu manakala protein dihantar terus ke Jepun pada hari yang sama.

A. Rahman yang juga Pengarah Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu, kesemua bahan penyelidikan berkenaan akan dianalisis dengan lebih menyeluruh bagi mendapatkan keputusan lebih tepat.

Beliau menambah, ia akan mengambil masa agak lama sebelum keputusan akhir diperolehi.

Salah satu komponen penting dalam Program Angkasawan Negara adalah penyelidikan kerana ia menentukan sejauh mana program tersebut dianggap berjaya.

0 comments: