Samy Vellu minta kerajaan negeri henti roboh kuil

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu meminta semua kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menghentikan serta-merta tindakan meroboh kuil bagi menghormati penganut agama Hindu.

“Saya sudah pun beberapa kali membawa perkara ini dalam mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri tetapi masih ada kuil yang dirobohkan.

“Isu pencerobohan kuil di Kampung Karuppiah, Padang Jawa, Shah Alam, semalam (kelmarin) melukakan hati penganut agama Hindu di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkannya di sini, semalam.

Kenyataan itu reaksi kepada tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meroboh kuil, surau dan beberapa rumah setinggan di kawasan berkenaan atas arahan mahkamah.

Tindakan MBSA meroboh kira 200 rumah, surau dan kuil di kampung itu sejak pagi kelmarin menimbulkan kekecohan dan rasa tidak puas hati penduduk setempat.

Samy Vellu berkata, beliau merayu kepada pihak berkenaan supaya tidak mengambil tindakan drastik dengan merobohkan kuil walaupun ia dibina tanpa mengikut undang-undang.

Sementara itu, Selangor mengarahkan pemaju menyediakan tapak membina semula kuil Hindu yang diroboh di perkampungan setinggan Kampung Rimba Jaya, dekat sini petang kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Datuk Mohd Mokhtar Ahmad Dahlan, berkata kuil akan dibina di sekitar kampung berkenaan secara insitu oleh pemaju, Khidmat Tulen Sdn Bhd.

"Pembinaan semula kuil sudah dipersetujui sejak kerajaan menyerahkan projek pembangunan secara insitu di situ kepada pemaju yang akan membina perumahan selesa dengan kemudahan asas mencukupi," katanya.

Beliau ditemui selepas melawat seorang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Khairul Othman, 26, yang dirawat di Pusat Perubatan Selangor (SMC) kerana cedera di kepala ketika operasi itu.

Empat anggota penguat kuasa termasuk Mohd Khairul cedera dipercayai terkena objek keras seperti batu dan kayu yang dibaling penduduk kampung yang tidak puas hati.

Anggota penguat kuasa lain yang cedera ialah Anuar Jaafar dan Siti Zamira Taharin dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Mohd Rafiee Yakob dari Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Anuar cedera pada jari kelingking, Siti Zamira dan Mohd Rafiee pada kepala dipercayai terkena batu.

Mereka mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Dalam operasi 1,000 anggota penguat kuasa itu, sembilan penduduk yang dikatakan menghalang operasi ditahan polis.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Noorazam Jamaludin ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai itu.

Mohd Mokhtar berkata, operasi merobohkan setinggan termasuk kuil disambung esok selepas ditangguhkan dua hari hasil perbincangan Samy Vellu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

0 comments: